Cita-cita besar Rara untuk Bentong


CALON Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi kerusi Parlimen Bentong tidak memandang mudah cabaran untuk memenangi kerusi itu walaupun mendapat respon positif pengundi.

Bekas ADUN Ketari, Young Syefura Othman yang 'dinaikkan pangkat' bagi mewakili suara masyarakat Bentong ke Parlimen berkata beliau akan terus bekerja keras demi memastikan setiap pengundi akan menyokong HARAPAN.

"Kalau kita lihat kempen hari pertama sehingga sekarang, kita terima respons sangat baik dan positif daripada masyarakat Cina, Melayu dan India.

"Namun begitu kita tak boleh begitu selesa, sebab persaingan sangat sengit di antara Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) serta calon Bebas.

"Kita tetap bekerja keras sehingga 18 November ini, kalau boleh saya jumpa seramai mungkin pengundi di Bentong ini untuk meyakinkan mereka beri undi kepada HARAPAN," katanya dipetik laporan Awani.

Young Syefura sementara itu berkata, pelbagai pembaharuan ingin dibawa di kawasan Parlimen Bentong sekiranya diberi kepercayaan dan mandat oleh rakyat.

Ia termasuk untuk menyegerakan projek tebatan banjir dan isu pekerjaan untuk anak muda di sekitar Bentong.

"Antara isu kerap dibangkitkan (ialah) isu banjir, jadi isu tebatan banjir dan sebagainya, kita perlu tekankan dan segerakan selepas PRU.

"Isu kedua ialah dari segi peluang pekerjaaan, serta isu perumahan melibatkan orang muda, kerana apabila saya pergi walkabout jumpa masyarakat, bila tanya apa masalah di sini sering (mereka) kata anak muda tidak cukup rumah dan sewa mahal," jelasnya.

Selain itu beliau turut mahu membawakan agenda pembangunan keluarga dan masyarakat, pertanian moden, pembangunan bandar, dan perkembangan sukan di kawasan diwakilinya.

Pada pilihan raya kali ini, Young Syefura yang lebih mesra dipanggil Rara akan berdepan pertandingan lima penjuru.

Beliau akan berhadapan Liow Tiong Lai dari Barisan Nasional dari Barisan Nasional (BN),  Roslan Hassan dari Perikatan Nasional (PN) dan calon bebas Wong Tack serta Achik Khalil.

Pada PRU14 lalu, Wong Tack memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 2,032 undi menewaskan dua lagi pencabarnya, Tiong Lai dan N. Balasubramaniam dari Pas. Wong Tack ketika itu bertanding dibawah tiket HARAPAN.

Sementara itu, Young Syefura turut berkata, mahu memperjuangkan isu-isu wanita di Dewan Rakyat sebagai memenuhi potensi kaum itu tanpa perlu memilih antara keluarga atau kerjaya.

“Sebagai salah satu individu yang bakal mewakili suara wanita di Parlimen, isu ini dekat di hati saya dan ia menjadi salah satu keutamaan saya," jelasnya.

Rara juga mahu bawa agenda perkasakan wanita
Antara perkara itu adalah pemberian subsidi penjagaan kanak-kanak kepada wanita bekerja dari golongan B40 dan M40.

Memperuntukkan elaun khas bagi penjaga golongan warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Manfaat kanak-kanak sejagat, wang tunai kepada setiap kanak-kanak dari lahir hingga mereka berumur enam tahun bagi memastikan golongan itu menerima nutrisi secukupnya semasa membesar dan isu diskriminasi wanita di tempat kerja.
 

Post a Comment

0 Comments