Penarafan kredit oleh Fitch beri cerminan prestasi ekonomi bawah PN


BEKAS Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bimbang dengan sikap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menafikan penurunan penarafan kredit negara oleh Fitch Rating baru-baru ini.

Menurut Lim, sikap kerajaan yang menafikan Malaysia sedang mengalami krisis politik dan ekonomi menambah risiko penurunan lanjut penarafan kredit negara pada masa akan datang.

"Kerajaan PN memilih untuk menafi dan tidak menangani penurunan metrik kredit utama Malaysia yang menyebabkan penurunan dari A- ke BBB +, iaitu ketidakstabilan politik dan kurangnya ketelusan atau piawaian tadbir urus.

"Pemecatan Menteri Besar Perak secara mengejut oleh sekutu PN iaitu Umno pada minggu lalu, menunjukkan penilaian Fitch adalah tepat mengenai majoriti tipis parlimen dua kerusi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai penyebab ketidakstabilan politik," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, penarafan oleh Fitch Rating itu juga boleh diterjemah sebagai satu bentuk undi tidak percaya oleh pakar kewangan bebas dan antarabangsa mengenai prestasi ekonomi pentadbiran Muhyiddin.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz tambahnya perlu mendedahkan unjuran pertumbuhan yang realistik mengenai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Fitch menjangkakan jumlah hutang kerajaan akan meningkat kepada 76 peratus daripada KDNK pada tahun 2020 daripada 65.2 peratus daripada KDNK pada tahun 2019, dan hutang langsung kerajaan pada RM874.27 bilion atau 60.7 peratus daripada KDNK pada akhir bulan September, yang berada di atas had perundangan 60 peratus daripada KDNK.

"Lebih penting lagi, Fitch berpandangan bahawa kemerosotan tadbir urus dan ketidakpastian politik yang berterusan dapat melembapkan sentimen pelabur, yang membataskan pertumbuhan ekonomi," katanya.

Sementara itu, Lim turut menegaskan bahawa Muhyiddin harus berani menangani ketidakstabilan politik dengan membenarkan usul tidak percaya di parlimen.

Lim kesal dengan sikap kerajaan PN
"Penolakan beliau untuk melakukannya hanya menunjukkan kelemahan politiknya dan kekhuatiran bahawa beliau telah kehilangan majoriti parlimennya.

"Sebarang penangguhan hanya akan mengorbankan kepentingan negara demi survival peribadi yang mementingkan diri sendiri," katanya.

Post a Comment

0 Comments