MENJELANG Pilihan Raya Umum (PRU) yang bakal diadakan bila-bila masa, Pakatan Harapan (HARAPAN) memberi jaminan tidak berlaku pertembungan kerusi dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) seperti berlaku dalam pilihan raya negeri Johor.
Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli berkata, pertindihan akan dielakkan menerusi rundingan kedua-dua pihak dalam usaha mencapai persetujuan dan kesepakatan bersama.
Rafizi yang juga Pengarah Pilihan Raya parti itu turut menjelaskan bahawa ketika ini HARAPAN sedang mengadakan rundingan dalam kalangan parti komponennya terlebih dahulu.
Gabungan yang terdiri dari KEADILAN, Amanah, DAP dan UPKO itu sendiri menurutnya sudah mempunyai calon untuk diketengahkan.
“Kita telah ada semua senarai kerusi (yang akan ditandingi HARAPAN) di seluruh Malaysia, soal bagaimana MUDA ingin bekerjasama, itu akhirnya di peringkat yang seterusnya.
“Kemasukan atau permohonan MUDA itu, tidak kira apa keputusan, akhirnya Majlis Presiden HARAPAN akan buat keputusan. itu tidak akan mengganggu rundingan kerusi yang akan terus berlaku.
"Atas sebab itu saya tidak nampak ada pertindihan kerusi kali ini,” kata dipetik laporan Sinar Harian.
Pada PRN Johor pada Mac lalu, calon KEADILAN mewakili HARAPAN bertembung dengan calon dari MuUDA yang merupakan sekutu gabungan itu kerusi Larkin. pertembungan itu menyaksikan kedua-dua calon itu tewas kepada Barisan Nasional (BN).
MUDA baru-baru ini menyatakan hasrat menganggotai HARAPAN bagi menghadapi PRU akan datang dengan mensasarkan bertanding di 15 kerusi Parlimen pada PRU akan datang termasuk di Parlimen Muar, yang kini diwakili Presidennya.
Hasrat menjadi sebahagian anggota gabungan itu telah disampaikan secara rasmi.
Rafizi sementara itu memaklumkan permohonan MUDA itu bakal dibincangkan Majlis Presiden HARAPAN sebaik pembahagian kerusi selesai.
Mengulas lanjut perkara itu, Rafizi menegaskan bahawa semua pihak boleh memberikan pandangan mengenai hasrat MUDA, tetapi akhirnya keputusan akan dibuat Majlis Presiden dan semua pihak perlu akur kepada apa-apa keputusan nanti.
Pertembungan HARAPAN - MUDA akan dielakkan |
“Soal rundingan kerusi PRU15, ini semua tidak terkait dengan soal hasrat MUDA untuk sertai HARAPAN.
"HARAPAN adalah gabungan politik yang kuat dan akan meneruskan momentum sedia ada, berkenaan MUDA, ia akan diberitahu apabila sampai masanya,” katanya dipetik.
0 Comments