SEORANG pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) menyifatkan apa-apa usaha mengadakan pilihan raya ketika musim banjir sebagai tidak berhati perut.
Timbalan Presiden Amanah, Salehuddin Ayub berkata begitu sebagai mengulas kenyataan Presiden Umno yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi bahawa mereka sanggup meredah banjir mahupun hujan lebat bagi berkempen memenangkan BN.
Tegas Salehuddin, kenyataan Ahmad Zahid itu tidak mengambi kira kesusahan rakyat yang terpaksa berdepan kemusnahan harta benda akibat banjir.
“Janganlah umum macam tu sebagai kerajaan… masa banjir pun nak buat (PRU),”
“Kalau dia buat macam tu harap rakyat dapat tolaklah mereka, tak kesian dan simpati langsung kepada rakyat," kata bekas menteri itu.
Salehuddin sebelumnya ditemui pemberita selepas Konvensyen Amanah di Seremban, Negeri Sembilan hari ini.
Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli sebelum ini menegaskan bahawa Umno akan kalah sekiranya pilihan raya diadakan pada musim banjir, ini jelasnya kerana kerajaan pimpinan Umno tidak pernah berjaya menyelesaikan masalah yang melibatkan kerugian itu.
Zahid kemudian dalam satu program anjuran BN di Kuala Lumpur semalam berkata, mereka bersedia berkempen sekalipun terpaksa meredah banjir.
Manakala Perdana Menteri, Ismail Sabri dalam program sama berkata tarikh pembubaran parlimen akan diumumkan tidak lama lagi, untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Naib Presiden Umno itu meminta untuk diberikan sedikit masa lagi bagi menentukan tarikhnya, bersama dengan Ahmad Zahid.
"Saya dan presiden akan menentukan, tapi percayalah sikit lagi, tak lama. Presiden.. kita bincang cepat-cepat," katanya dipetik.
Jangan la kejam sangat pada rakyat |
Beliau mencadangkan supaya PRU15 diadakan pada waktu yang lebih sesuai seperti selepas Tahun Baru Cina pada tahun depan.
“Barulah nampak dia ada hati perut dan rasionalnya. Kalau dia buat juga musim banjir ni memang kerajaan tak ada hati perut,” katanya.
0 Comments