Habuan jawatan juga rasuah, Khalid ingatkan Presiden PAS


SEORANG pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) menyifatkan Abdul Hadi Awang cuba menyembunyikan hakikat bahawa PAS sebenarnya  bersikap ‘lunak’ terhadap golongan perasuah yang sudah terbukti bersalah di mahkamah.

Khalid Samad yang juga merupakan Pengarah Komunikasi parti Amanah berkata begitu susulan tuduhan Abdul Hadi bahawa ramai dalam kalangan HARAPAN tidak beriman (beraqidah) dan bermoral (berakhlak) selain mendakwa gabungan itu ‘mengumpulkan kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah’.

“Seharusnya PAS mengambil sikap yang lebih tegas dalam menolak parti dan kepimpinan parti yang mengamalkan budaya rasuah seperti Umno.

“PAS juga seharusnya menolak amalan menerima tawaran jawatan sebagai habuan sokongan untuk berkuasa seperti mana yang berlaku semasa pembentukan Perikatan Nasional kerana ianya juga satu bentuk rasuah dan tidak bermoral.

“Kami percaya Hadi membuat kenyataan ini (menuduh HARAPAN ) bagi menyembunyikan sikap sebenar PAS yang lunak terhadap rasuah apabila PAS mempertahankan individu dan kumpulan pelaku rasuah yang telah dibuktikan bersalah di mahkamah, " kata Khalid dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Shah Alam itu turut membangkitkan dakwaan Editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown yang mengaitkan Abdul Hadi dengan rasuah RM90 juta dari Umno untuk mendapatkan sokongan PAS pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Abdul Hadi kemudian memfailkan saman terhadap Clare namun saman itu akhirnya diselesaikan di luar mahkamah, dengan Presiden PAS itu dilaporkan membayar Rewcastle Brown RM1.4 juta pada 2019.

BACA: Dana RM90 juta, ADUN buat laporan SPRM  

BACA: 'Fatwa' Abdul Hadi ikut selera politik

Pada masa sama, Khalid juga mengingatkan,sikap tegas HARAPAN terhadap rasuah telah dibuktikan dengan kejayaan gabungan itu membawa pelaku rasuah dalam skandal 1MDB ke muka pengadilan.

Rekod cemerlang kerajaan HARAPAN dalam melawan rasuah turut terbukti apabila Indek Persepsi Rasuah (IPR) Malaysia pada tahun 2019 telah menunjukkan kenaikan skor IPR yang tertinggi sebanyak 53 poin sambil meraih kedudukan pada tangga 51 daripada 180 negara.

“Manakala semasa PAS menjadi sebahagian dari kerajaan PN pada tahun 2020, Malaysia telah menerima skor yang lebih rendah sebanyak 51 poin dengan jatuh kedudukan pada tangga 57.

“…dan kini terus menjunam pada tahun 2021 setelah mendapat skor sebanyak 48 dan berada di kedudukan tangga 62 daripada 180 negara yang terlibat,” tegasnya.

Tambahnya Khalid Samad lagi, dalam usaha melawan rasuah itu, kerajaan HARAPAN turut menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) sebagai sebuah agensi pengukuhan amalan urus tadbir baik dan anti-rasuah.

Dalam tempoh yang singkat, GIACC telah berjaya melaksanakan beberapa inisiatif dalam melawan amalan rasuah dalam pentadbiran negara.

Persepsi rasuah merosot ketika PAS dalam k'jaan
Sebagai rekod, pada April 2020, Abdul Hadi dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri berkuatkuasa serta merta.

Lantikan itu selepas Abdul Hadi membawa partinya menyokong Mahiaddin Md Yassin yang kemudian dilantik perdana menteri setelah k'jaan HARAPAN yang mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 ditumbangkan melalui 'langkah Sheraton'.
 
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dipetik laporan media berkata, parti itu tidak akan bersekongkol dengan sesiapa saja yang melakukan rasuah.
 
Tambahnya, Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai PAS tegas mempertahankan integriti dan menentang amalan rasuah.
 
 

Post a Comment

0 Comments