ANAK kepada bekas Presiden PAS, Faiz Fadzil mengkritik kenyataan Abdul Hadi Awang pada 19 Jun lalu yang memberi amaran kepada orang muda supaya tidak terpengaruh dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang dilabelkan beliau sebagai ‘melampau terhadap Islam’.
Faiz yang merupakan Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional berkata, kenyataan itu yang dakwanya 'Fatwa baharu' Abdul Hadi tidak lagi dibuat berdasarkan disiplin ilmu dan maslahat melainkan mengikut selera politik yang bertujuan memberi persepsi tidak baik terhadap HARAPAN.
“PAS kini ibarat kacang lupakan kulit, yang boleh meninggalkan kekasih lama untuk mendapatkan kekasih baru.
“Asalkan demi kuasa, tidur sebantal lain-lain sijil nikah pun tidak apa. Dengan begitu banyak isu yang menjerut kerajaan gagal Perikatan Nasional (PN) hari ini terutama kegagalan menangani pandemik Covid-19, kelumpuhan ekonomi dan kelemahan proses vaksinasi, Presiden PAS cuba menjadikan HARAPAN sebagai kambing hitam dengan menunggang sentimen perkauman dan agama,” kata beliau.
Abdul Hadi dalam 'fatwa' terbarunya menasihatkan generasi muda agar tidak mudah terpengaruh oleh media untuk menyokong semula HARAPAN kerana katanya ia hanya “akan menimbulkan penyesalan dalam kehidupan ini dan masa akan datang”.
Presiden PAS itu sambil mendakwa gabungan itu 'melampau terhadap Islam' berkata bahawa adalah haram untuk bersama musuh agama.Walaubagaimanapun kenyataan itu tidak disertakan hujah kukuh dan jelas bagi menyokong tuduhannya.
Sementara itu tambah Faiz, stigma dicanang Abdul Hadi kononnya HARAPAN anti-Islam sengaja dicipta bagi merendah-rendahkan pemikiran orang muda yang semakin celik politik dan demokrasi.
Namun, katanya jika disorot kembali perjalanan politik Presiden PAS itu yang kini diberi jawatan politik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah seringkali mengeluarkan fatwa politik yang berubah-ubah, flip-flop dan u-turn.
Pada 1981,Abdul Hadi katanya pernah melabelkan Umno sebagai kafir dan haram untuk menyokong Umno.
Tetapi, kini katanya PAS pula bersama Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan turun berkempen menyokong calon Umno dalam beberapa pilihanraya kecil (PRK) pasca PRU-14 seperti di PRK Slim.
“Bertambah parah apabila PAS berkempen untuk MCA di PRK Tanjung Piai walaupun MCA kuat menentang hudud. Hudud dianggap nyawa PAS, tetapi kini dipajak kepada MCA.
“Pas pernah bersama DAP membentuk kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Perak dan Selangor (2008-2018), namun kerana ingin bersama Umno, DAP dijadikan kambing hitam dengan dilabelkan anti-Islam.,” katanya.
Begitu juga dalam isu RUU355 dijadikan alat perpecahan suatu permuafakatan nasional, tetapi kini alat itu pula usang ditelan zaman.Faiz bidas kenyataan terbaru Abdul Hadi
Mengulas tindakan PAS bersekongkol mengambil kerajaan dari HARAPAN yang diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Faiz mengingatkan Abdul Hadi dengan petikan surah al-Anfal ayat 58 yang bermaksud: “Jika kamu mengetahui satu pengkhianatan dari satu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur. Sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang berkhianat”,”
0 Comments