Guan Eng salahkan Khairy punca M'sia kurang vaksin Covid-19


SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng membidas Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.

Melalui satu kenyataan, bekas Menteri Kewangan itu melahirkan rasa terkejut apabila Khairy mengatakan bahawa vaksinasi bukanlah penyelesaian yang terjamin untuk pandemik Covid-19 sedangkan menurut Guan Eng vaksinasi merupakan jalan keluar yang terbaik daripada pandemik Covid-19 dan ia sedang berlaku di seluruh dunia.

Beliau turut menegur Ahli Parlimen Rembau itu yang cuba menyalahkan negara lain bahawa mereka membolot vaksin sedangkan menurutnya Khairy sendiri dilihat bersikap sambil lewa untuk mendapatkan tempahan vaksin.

“Khairy telah menyalahkan negara-negara Barat kerana membolot bekalan vaksin yang berlaku di atas ketidakcekapan PN untuk mendapatkan vaksin segera. Namun, masalah seperti itu nampaknya tidak dihadapi Singapura dan Indonesia.

“Adakah Khairy ingin mengatakan kepada rakyat Malaysia bahawa kita mungkin membelanjakan RM5 bilion dengan sia-sia untuk mencapai sasaran vaksinasi 80 peratus penduduk menjelang 31 Disember nanti?

“Jangan lupa, PN telah dikritik hebat kerana menyalahgunakan kuasa darurat untuk meminda Akta Kumpulan Wang Amanah Negara tanpa kelulusan Parlimen bagi menggunakan RM5 bilion untuk PICK,” tegasnya dalam kenyataan tersebut.

Pada masa sama Guan Eng menegaskan mempersoalkan apakah kerajaan telah mengubah pandangan terhadap imuniti kelompok.

Beliau mahu Khairy perlu menjelaskan secara terbuka kenyataannya dalam webinar yang dianjurkan oleh Oxford & Cambridge Alumni Network Malaysia pada 16 Jun, bahawa langkah itu (imuniti kelompok) bukanlah penyelesaiannya.

Apakah imuniti kelompok sudah tak penting?


Menambah kekeliruan dasar mengenai imuniti kelompok, Perdana Menteri Mahiaddin Md Yasin terus menggunakan istilah tersebut beberapa hari yang lalu.


“Jadi adakah Kerajaan PN telah berubah-ubah fikiran lagi sama ada mereka telah mengabaikan matlamat imuniti kelompok?,” soalnya lagi. 

Post a Comment

0 Comments