PENGERUSI Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Terengganu Azan Ismail menyelar pemimpin PAS yang disifatkannya sebagai membisu supaya sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri yang dipimpin parti mereka diadakan.
Dipetik laporan Malaysiakini, ADUN Bandar itu berkata, pimpinan PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah - sepatutnya menjadi contoh dan bertegas dalam soal kepentingan rakyat dengan bertindak memastikan DUN di setiap negeri di bawah pentadbirannya dapat dibuka pada kadar segera.
Namun beliau beranggapan tiada sebarang usaha berkaitan telah dilakukan pemimpin PAS di negeri itu.
"Kita ingat negeri yang diperintah oleh PAS dan berasaskan kepada menegakkan Islam dan menjadi tauladan yang baik, kemudian membangun bersama Islam tapi bila berkenaan dengan usaha menegakkan demokrasi mereka ini diam membisu.
"Sepatutnya, pimpinan PAS di tiga negeri ini menjadi contoh dan teladan. Ramai yang menjangkakan tiga negeri ini akan mendahului negeri lain untuk menetapkan tarikh dan membuat sidang DUN.
"Tapi perkara itu tidak berlaku dan mengecewakan banyak pihak," kata dipetik laporan itu.
Azan turut menyifatkan pemimpin PAS sebagai leka dengan jawatan yang disandang mereka dalam kerajaan, malah bersikap sambil lewa untuk mendesak sidang DUN diadakan kerana mereka jelasnya terlalu banyak terhutang budi dengan jasa yang ditaburkan Mahiadin Md Yassin kepada parti mereka.
"Presiden dia dan juga kepimpinan utama mereka yang duduk sebagai menteri dan timbalan menteri semuanya membisu, tak beri bayangan langsung tentang kepentingan untuk mengadakan sidang DUN seperti negeri lain yang dah buat ketetapan untuk tarikh persidangan.
"Mereka leka dengan keseronokan mendapat laba barangkali dan mereka melihat rakyat Terengganu ini, benda yang tak perlu diambil berat, tak perlu khuatir langsung sama ada rakyat bersuara atau menyalahkan kerajaan negeri ke atau apa.
"Mereka langsung tidak bimbang, seolah-olah mereka leka dengan kedudukan sehingga mereka lupa dan hairannya pimpinan mereka ini sepatutnya menyuarakan atau menimbulkan isu ini tapi masing-masing sama sama dengan kepimpinan baik di peringkat pusat atau negeri mahu pun kawasan, PAS semuanya membisu.
"Padahal di negeri Terengganu banyak isu-isu tertangguh yang perlukan kelulusan Dewan, baik peruntukan tambahan untuk Covid, pelaksanaan suntikan vaksin serta merta. Tapi semua perkara perkara ini memang dipandang sepi apatah lagi isu besar seperti persidangan DUN dibuka," katanya dipetik laporan itu lagi.
Jumaat lepas, beberapa negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Sabah memaklumkan akan membuat pemohonan bagi mengadakan sidang DUN manakala Perlis dijadual kembali bersidang selama tiga hari bermula 24 Ogos.
Sementara Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini memaklumkan Kedah belum bercadang untuk mengadakan persidangan DUN dan hanya melaksanakannya selepas Parlimen bersidang berikutan masih terikat dengan Ordinan Darurat.Azan dakwa pemimpin PAS seolah-olah leka
DUN Kelantan juga dilaporkan hanya akan bersidang selepas Parlimen mengumumkan tarikh persidangannya, kata Yang Dipertuanya Abdullah Ya'kub.
0 Comments