Warisan sedia kerjasama dengan BN - Shafie Apdal


PRESIDEN
Parti Warisan (Warisan) Mohd Shafie Apdal berkata, partinya sedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang menerajui kerajaan di peringkat Persekutuan selepas PRU15 kelak termasuk dari Barisan Nasional (BN)

Dalam sidang media di Kota Kinabalu hari ini, Ahli Parlimen Samporna itu berkata, Warisan bersikap terbuka dalam hal kerjasama itu kerana jelasnya agak sukar untuk parti itu menjadi kerajaan sekiranya kekal bersendirian.

Walau bagaimanapun jelasnya, Warisan akan membuat penilaian terperinci terhadap bakal parti rakan kongsi dan bentuk kerjasama  bagi memastikan ia seiring dengan perjuangan Warisan untuk mempertahankan kepentingan Sabah.

“Kita perlu terbuka untuk memastikan kita dapat mengukuhkan parti kerana kita sedar dan tahu kalau kita bersendirian agak tidak mudah.

"Kalau pun ada perkongsian atau kerjasama pintar, konsepnya seperti dilakukan Sarawak, bekerjasama rapat dengan kerajaan memerintah,” katanya dalam laporan oleh Bernama itu.

Shafie turut tidak menolak mengadakan kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Sebagai rekod GRS yang dipengerusikan Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor baru ditubuhkan secara rasmi dengan dianggotai parti Bersatu, Parti Bersatu Sabah (SAPP), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP), manakala UMNO dan BN menjadi rakan GRS dalam kerajaan negeri.

Shafie akui sukar untuk bersendirian
Shafie digantikan oleh Hajiji setelah Warisan kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang diadakan mengejut setelah berlakunya ketidakstabilan politik negara ekoran pertukaran kerajaan persekutuan melalui 'Langkah Sheraton'.

Warisan merupakan sekutu Pakatan Harapan (HARAPAN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, namun selepas berlakunya pertukaran kerajaan, Warisan dianggap telah membawa langkahnya sendiri.



Post a Comment

0 Comments