Pemilihan 2022: 8 cabang adakan undi semula hujung bulan ini

PARTI KEADILAN akan menjalankan semula pengundian pemilihan parti itu secara fizikal bagi lapan cabang di empat negeri sebelum akhir bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Zaliha Mustafa dipetik laporan Bernama pengundian semula di lapan cabang tersebut disebabkan beberapa masalah termasuk masalah teknikal yang berlaku ketika pengundian fizikal.

"Kita juga menerima bantahan di beberapa cabang dan JPP sedang membincang serta menilai semua bantahan tersebut. Jika terpaksa membuat pengundian semula, kami akan lakukan juga secara serentak dengan pengundian lapan cabang tersebut," katanya dipetik.

Zaliha turut berkata, buat masa ini pihaknya belum memuktamadkan tarikh bagi pengundian semula di  cabang Gua Musang, Pengkalan Chepa, Bachok, Ketereh dan Tumpat di Kelantan, Dungun (Terengganu), Hulu Selangor (Selangor) dan Padang Serai (Kedah) itu.

susulan itu jelasnya, keputusan tidak rasmi pemilihan parti terpaksa ditangguhkan dan ia hanya akan diketahui dalam tempoh 24 jam selepas proses pengundian semula cabang-cabang berkenaan.

Sementara itu, Dr Zaliha memaklumkan sebanyak 57 daripada keseluruhan 222 cabang telah menang tanpa bertanding bagi semua jawatan peringkat cabang pada Pemilihan KEADILAN 2022.

Katanya sebanyak 12.22 peratus iaitu 136,629 ahli KEADILAN telah mengundi dalam pemilihan parti setakat Ahad, termasuk 76,932 yang mengundi secara dalam talian sejak 18 Mei sehingga 20 Mei.

Pengumuman rasmi dijadualkan pada 25 Jun
Seramai 1,118,423 ahli yang layak mengundi pada Pemilihan 2022 yang menyaksikan seramai 11,282 calon merebut pelbagai jawatan di peringkat pusat, cabang dan sayapnya.

Pengumuman rasmi calon yang menang jawatan pada Pemilihan 2022 akan diumumkan pada 25 Jun depan sempena Kongres Nasional Tahunan KEADILAN, manakala bagi ketua wanita dan ketua AMK akan diumumkan pada 24 Jun, pada kongres tahunan masing-masing.

Post a Comment

0 Comments