MAHKAMAH Persekutuan membenarkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan empat wakil rakyat merayu bagi mencabar tindakan Mahiaddin Md Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong menggantung Parlimen semasa tempoh darurat.
Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, dalam keputusan majoriti 2-1 hari ini membenarkan permohonan dibuat Anwar, Ahli Parlimen Pulai Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul, ADUN Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari dan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang mengetepikan rayuan mereka pada 24 Nov tahun lalu.
Nallini dalam keputusannya berkata beliau dan Hakim Ong berpandangan bahawa rayuan perlu diberikan di bawah Seksyen 96 (a) dan (b) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, memandangkan ini adalah perkara yang berkaitan dengan kepentingan awam.
“Kami juga berpandangan bahawa permohonan ini bukan akademik. Oleh itu kami membenarkan permohonan dengan kos,” kata Nallini.
Manakala Hakim Zabariah Mohd Yusof yang mempunyai pandangan berbeza pula dalam keputusannya berkata peruntukan Artikel 150 (6) Perlembagaan Persekutuan, menyatakan bahawa tiada perundangan yang digubal menurut pengisytiharan darurat akan menjadi tidak sah atas alasan tidak konsisten dengan mana-mana peruntukan perlembagaan ini.
“Parlimen mempunyai kuasa semasa darurat untuk menggubal undang-undang mengenai apa-apa perkara dan apa-apa acara, walaupun dalam percanggahan dengan artikel Perlembagaan, termasuk peruntukan untuk kebebasan asasi terlibat,” katanya yang menolak rayuan itu.
Pada 22 April lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Anwar untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman untuk mencabar nasihat Mahiaddin kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk menggantung sidang Parlimen darurat seluruh negara.
Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Mariana Yahya (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak permohonan Anwar atas alasan mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar semakan kehakiman berdasarkan Perkara 150(6) dan 150(8) Perlembagaan Persekutuan.
Anwar memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman pada 25 Januari tahun lepas, dengan menamakan Muhyiddin dan kerajaan masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.
Beliau memohon deklarasi bahawa keputusan yang diberikan oleh Jemaah Menteri, diketuai Muhyiddin untuk menasihati Sultan Abdullah untuk mengisytiharkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang telah mengakibatkan penggantungan Parlimen adalah bertentangan dengan undang-undang, tidak berperlembagaan, tidak sah, tidak mempunyai sebarang kesan dan ultra vires.
Mahiaddin dinamakan sebagai responder pertama |
Mereka juga menamakan Presiden parti Bersatu itu dan kerajaan sebagai responden dalam permohonan mereka.
0 Comments