K'jaan digesa jelaskan isu janji bantu kerajaan Taliban oleh Abdul Hadi


SEORANG
bekas duta besar Malaysia mahu Kementerian Luar Negeri memberi penjelasan berhubung ikrar Abdul Hadi Awang yang ingin menyediakan bantuan kemanusiaan dan ekonomi kepada kerajaan Afghanistan yang ditadbir oleh Taliban.

Datuk Dennis Ignatius dipetik laporan FMT berkata, berdasarkan amalan sebelum ini, keputusan Jemaah Menteri tidak diperlukan apabila kerajaan membuat sumbangan seperti itu walaupun ia memerlukan kelulusan bertulis daripada Perdana Menteri.

“Bagi mengelakkan kekeliruan, saya rasa Wisma Putra patut mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan situasi berkenaan.

“Duta Khas tidak mempunyai kuasa untuk membuat sumbangan seperti itu tanpa merujuk kepada Pejabat Perdana Menteri,” katanya dipetik sebahagian laporan itu.

Sebelum ini Abdul Hadi yang dilantik Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah sejak era pentadbiran Mahiaddin Md Yassin dilapor memberi jaminan untuk memberikan bantuan dan sokongan kepada kerajaan Taliban di Afghanistan.

Perkara itu dimaklumkan wakil tetap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Taliban, Mohammed Suhail Shaheen susulan pertemuan Abdul Hadi dengan delegasi dari pejabat politik Taliban di Qatar baru-baru ini.

Ikrar Hadi itu bagaimanapun mengundang kritikan daripada pembangkang apabila pemimpin Amanah mempersoalkan sama ada Ahli Parlimen Marang terbabit mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

BACA:
Presiden PAS langkau kuasa kabinet?


Menyifatkan tindakan Abdul Hadi sebagai aneh dan terburu-buru, Pengerusi Biro Antarabangsa parti Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengingatkan Presiden PAS itu bahawa kerajaan Malaysia belum secara rasmi mengiktiraf pimpinan Taliban di Afghanistan.

Jelaskan supaya rakyat tak rasa keliru
Sementara itu Ignatius, yang berpengalaman selama 36 tahun dalam perkhidmatan luar negeri menyuarakan harapan agar Putrajaya bersama-sama kerajaan lain membuat penegasan supaya rejim Taliban menghormati hak asasi manusia rakyatnya.

Katanya, rejim itu tidak boleh kembali kepada “cara mundur, kejam dan kuno masa lalu”.

Post a Comment

0 Comments