Ramasamy bidas pihak tolak pelaksanaan gaji minumum

 

TIMBALAN Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy mengkritik Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) yang menurutnya menentang peningkatan gaji minimum.

Melalui satu kenyataan, Ramasamy turut menyelar alasan MEF kononnya peningkatan gaji untuk pekerja itu akan menjejaskan pemulihan perniagaan yang sedang bergelut untuk pulih ekoran pendemik Covid-19 dan banjir baru-baru ini.

“Ini hujah yang pelik daripada MEF - yang dianggap sebagai pelindung firma sektor swasta.

“Walaupun jika ia hujah yang boleh diterima, saya lihat pelik apabila MEF tidak pernah mempertahankan gaji minimum ketika ekonomi dalam keadaan baik, terutama sebelum wabak. Mengapa MED ada standard berbeza?” soalnya.

Terdahulu pada Ahad, Presiden MEF, Syed Hussain Syed Husman dilapor media sebagai berkata bahawa kini belum tiba masanya untuk melaksanakan cadangan gaji minimum RM1,500.
 
Jelasnya, kebanyakan majikan masih berusaha untuk membina semula perniagaan masing-masing yang terjejas teruk oleh pendemik dan banjir besar, sekali gus tidak mampu untuk menanggung sebarang peningkatan kos termasuklah peningkatan gaji minimum.

Sementara itu Ramasamy berkata, majikan tidak pernah setuju dengan perundangan berkenaan gaji minimum - dengan ramai yang berpandangan ia patut ditentukan oleh faktor permintaan dan bekalan.

Tegasnya, hujah itu hanya boleh diterima jika kesatuan sekerja bebas untuk menganjurkan dan membuat rundingan kolektif, serta jika tiada campur tangan kerajaan.

“Tetapi di Malaysia, ada campur tangan besar kerajaan melibatkan sektor tenaga kerja. Kerajaan menyekat kebebasan pekerja dan kesatuan dengan mengetatkan undang-undang.

“Bagaimana interaksi permintaan dan bekalan boleh berlaku jika tangan kesatuan diikat dan majikan bebas?” soalnya lagi.

M'sia gagal tangani isu gaji wajar
Ramasamy turut berpandangan cadangan gaji minimum di Malaysia gagal menangani persoalan gaji yang wajar. Kerajaan katanya lebih berminat untuk mendapat pekerja asing dengan gaji murah berbanding memberi perhatian kepada kesukaran yang dihadapi tenaga kerja tempatan.

“Jika kementerian menumpukan perhatian yang memadai kepada keadaan kesatuan kerja dan pekerja, gaji minimum tidak perlu diperkenalkan.

“Sudah tiba masanya kerajaan melihat pekerja sebagai manusia dan apa keperluan material yang diperlukan untuk menjalani kehidupan yang baik di negara ini,” tegasnya lagi.