Tangguh PRN Johor jika kes Covid-19 terus meningkat - Majlis Presiden

 


MAJLIS PRESIDEN Pakatan Harapan (HARAPAN) meminta kerajaan untuk menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekiranya jumlah jangkitan kes Covid-19 terus meningkat.

Bagaimanapun, kata mereka, sekiranya kerajaan enggan berbuat demikian, ceramah terbuka seharusnya dibenarkan semasa kempen yang akan bermula pada 26 Februari ini.

“Majlis Presiden memandang serius gelombang Covid-19 dengan varian Omicron yang sudah bermula dengan jumlah kes mencecah 17,000 semalam.

“Demi memastikan keadaan ini tidak diperalatkan untuk tujuan politik maka kerajaan harus pertimbang untuk menangguhkan PRN Johor.

“Sekiranya kerajaan enggan menangguhkan dan ingin memberi kelonggaran seperti negara Barat, maka kempen terbuka termasuk ceramah harus dibenarkan,” kata Majlis itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Presiden KEADILAN yang juga Pengerusi Gabungan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Upko Madius Tangau.

HARAPAN gerakkan kempen 'Johor Bangkit'
SPR pada semalam mengumumkan tarikh PRN Johor pada 12 Mac ini, manakala hari penamaan calon pula pada 26 Februari dan pengundian awal pada 8 Mac.

HARAPAN bercadang untuk menggerakkan kempen ‘Johor Bangkit: Maju, Bermaruah’ pada PRN Johor nanti dimana siri jelajah penamaan calon-calon HARAPAN bagi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi akan digerakkan sejurus selepas calon parti-parti dimuktamadkan dalam masa terdekat.


 

Post a Comment

0 Comments