KURANG sebulan selepas seorang remaja maut terjatuh dari pangsapuri di Kuala Terengganu, insiden serupa berulang lagi semalam.
Memetik laporan Awani, seorang remaja berusia 20 tahun maut setelah dipercayai terjatuh dari Pangsapuri Perumahan Rakyat (PPR) di Padang Hiliran.
Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, mangsa Muhammad Danial Mohd Anuar, 20 tahun, dipercayai tergelincir sebelum terjatuh dari tingkat empat bangunan 17 tingkat itu.
Sementara itu, seorang penghuni PPR, Ahmad Haslan Abdul Rahman berkata, ketika kejadian dia berada di dalam rumah menonton televisyen.
Sejurus kemudian, dia terdengar satu bunyi kuat namun tidak menghiraukannya kerana menyangkakan bunyi bising itu datang dari kanak-kanak yang bermain di kawasan itu.
"Dengar macam benda jatuh, bunyi kuat. Kita di sini biasa dengar (bunyi begitu), tiada apa-apa. Selepas itu, dengar orang kata, ada orang jatuh. Saya turun bawah.
"Tengok-tengok, sudah ada orang angkat jenazah," katanya.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.
Difahamkan, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk bedah siasat.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
0 Comments