PERSATUAN industri vape menyokong apa-apa usaha mengawal selia penggunaan rokok elektronik itu di negara ini termasuk dari sudut pengiklanan.
Presiden Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (Mevta), Rizani Zakaria berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya kerajaan mahu memperkenal undang-undang kawalan terhadap cecair dan rokok elektronik yang dijual dinegara ini.
Sambil menjelaskan tanggungjawab yang perlu dimain pengusaha vape keatas pengguna mereka, Rizani turut mengakui bahawa kawalan sememangnya “patut ada” bagi mengelakkan wujudnya iklan-iklan vape melampau dan provokasi dalam negara ini.
“Iklan yang melampau dan provokasi yang melampau, bagi saya tak bolehlah. Memang kita tak setuju. Jadi pengawalan iklan itu sebenarnya patut ada juga.
“[...] kami sangat menjaga etika (menghisap vape), termasuk juga pengiklanan.," tegasnya.
Rizani sebelumnya menjawab soalan pemberita tentang beberapa iklan vape yang disiarkan di media sosial menerima kritikan hebat kerana memaparkan unsur-unsur lucah.
Trend vape juga kini menyebabkan ramai selebriti terkenal melancarkan jenama sendiri dan turut mengeluarkan iklan bagi melariskan jenama mereka di media sosial sehingga sesetengah pihak melahirkan kebimbangan iklan yang memaparkan itu bakal mempengaruhi kanak-kanak.
Untuk rekod, tindakan menunjukkan pempaketan rokok dalam iklan telah dilarang sejak 1995, manakala pengiklanan tembakau pula diharamkan sejak tahun 2003.
Sebagai rekod, pengusaha vape di negara ini menentang keras penjualan rokok elektronik dan cecairnya kepada pengguna dibawah umur, malah mereka menegaskan bahawa rokok elektronik merupakan medium untuk menghilangkan ketagihan terhadap rokok konvensional.
Susulan itu, Mevta semalam melancarkan kempen #vapeterkawal di APW Bangsar
Kempen itu yang turut dihadiri oleh Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), dan wakil daripada pertubuhan pengguna dan industri vape luar negara termasuk China, Korea Selatan, Indonesia, FIlipina dan Thailand, serta diserikan dengan kehadiran artis-artis terkenal seperti AC Mizal, Hazama, Syafiq Farhain dan ramai lagi bertujuan mendidik pengguna dan peniaga vape dinegara ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Jun lalu menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang dan usaha mengawal selia isu penggunaan vape dan rokok elektronik.
Timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye antara yang bakal dikaji ialah bagi memastikan kandungan cecair vape tidak dicampurkan dengan bahan kimia lain dan penjualannya hanya terhad kepada golongan dewasa sahaja.
Mengulas hal itu, Rizani bersama DPVM sekali lagi mengalu-alukan langkah kerajaan bagi mengawal selia industri vape, termasuklah penguatkuasaan kawalan penggunaan vape di tempat terbuka, pengenaan cukai terhadap cecair vape, serta kawalan piawaian peranti dan cecair vape.
0 Comments