BEKAS MENTERI, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyelar kenyataan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Abdul Hadi Awang untuk memberikan bantuan dan sokongan kepada kerajaan Taliban di Afghanistan.
Menyifatkan kenyataan Presiden PAS itu sebagai terburu-buru, Salahuddin turut menegaskan Abdul Hadi telah bertindak mendahului Kabinet atau perdana menteri semasa membuat pengumuman tersebut, sedangkan kerajaan Malaysia belum secara rasmi mengiktiraf pimpinan Taliban di Afghanistan.
“Nampaknya Abdul Hadi telah terburu-buru melebihi kuasanya sebelum keputusan Kabinet bertindak sedemikian.
"Tindakan gopoh serta aneh Abdul Hadi yang mewakili Malaysia diperhati seluruh dunia memberi imej yang buruk kepada negara.
"Pertamanya, kerajaan Malaysia masih tidak secara rasmi mengiktiraf kerajaan pimpinan Taliban di Afganistan,” kata Pengerusi Biro Antarabangsa parti Amanah itu dalam kenyataan.
Dipetik laporan media, wakil tetap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Taliban, Mohammed Suhail Shaheen, memaklumkan pertemuan beliau dengan Abdul Hadi di Doha, Qatar pada Sabtu.
Dalam ciapan di Twitter, Suhail berkata, delegasi dari pejabat politik Taliban turut hadir pada pertemuan itu.
“Kami membincangkan situasi semasa dalam negara dan keperluan menyediakan bantuan ekonomi dan kemanusiaan kepada Afghanistan.
“Beliau (Abdul Hadi) berjanji Malaysia akan melakukan apa yang mampu untuk membantu rakyat Afghanistan dalam waktu kritikal ini,” kata wakil Taliban itu dipetik.
Salahuddin sementara itu mempersoalkan keputusan Abdul Hadi memberi perhatian kepada keperluan di Afghanistan yang mana bukan berada di Timur Tengah.
"Setelah begitu lama dilihat tidak memainkan peranan sebagai duta, bahkan tidak pun mengadakan lawatan rasmi ke negara Timur Tengah, tiba-tiba muncul pengumuman sedemikian untuk Afghanistan yang terletak di luar Timur Tengah.
"Mungkinkah hanya kebetulan beliau bertindak terburu-buru dengan pilihan raya umum (PRU) ke-15 semakin hampir?” soalnya dengan menegaskan bahawa Ahli Parlimen Marang itu lebih wajar memberi tumpuan kepada isu berkaitan dengan Timur Tengah seperti kesengsaraan rakyat Yaman akibat daripada perang.
“Isu masalah di Timur Tengah seperti Yaman kawasan yang wajib beliau tumpu diabaikan, yang sunat, Afghanistan pula didahulukan.”
“Perang di Yaman adalah perang antara kuasa besar dan negara yang lemah dan kerdil, sehingga berjuta kanak kanak dan orang dewasa berhadapan masalah kekurangan nutrisi serta kebuluran dengan banyak kematian,” katanya.
Tambah Salahuddin, tokoh agama biasanya akan membuat tindakan dengan bijaksana, teratur dan berhati-hati, namun ia berbeza dengan Abdul Hadi.
Malaysia masih belum iktiraf k'jaan Taliban |
“Apabila tiba pengumuman PRN Johor, tiba-tiba muncul dan membuat pengumuman yang kontroversi untuk negara di luar kawasan tanggungjawab beliau sebagai Duta Khas ke Timur Tengah.” kata Salahuddin.
0 Comments