RM150 juta masuk akaun ‘tersembunyi’ Najib – Saksi


Sejumlah wang melebihi RM150 juta telah didepositkan ke dalam tiga akaun AmBank ‘tersembunyi’ milik bekas presiden Umno, Najib Razak, kata bekas Pengurus Perhubungan AmBank.
Joanna Yu Ging Ping dipetik laporan Sinar Harian dipetik berkata, pada Disember 2014, bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn. Bhd. Nik Faisal Ariff Kamil (Nik) telah menulis kepada bank untuk menjelaskan sumber wang tunai yang dimasukkan ke dalam akaun Najib.
“Nik berbuat demikian kerana institusi kewangan tersebut tidak selesa dengan jumlah deposit tunai yang tinggi dalam tiga akaun bank milik Najib,” katanya.
Joanna sebelumnya hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai saksi ke-54 kes penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta membabitkan Najib Razak.
Beliau sebelumnya merujuk kepada tiga akaun perbankan peribadi Najib dengan nombor berakhir 694, 880 dan 906 semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram pada hari ke-41 perbicaraan.
Sementara itu, Joanna turut mengesahkan akaun perbankan dengan nombor berakhir 906 menerima sejumlah RM6,779,063 antara Jun 2014 dan Mac 2015, manakala akaun dengan nombor berakhir 880 merekodkan kemasukan RM5.6 juta melalui deposit tunai pada Januari dan Februari tahun yang sama.
Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib,Joanna berkata, pengarah urusan bank ketika itu, Ashok Ramamurthy telah memberi peringatan berhubung akaun Najib disebabkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Tindakan itu mendorongnya memberitahu Jho Low bahawa akaun bank itu harus ditutup.
Jho Low adalah bekas penasihat kepada lembaga pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Selain Nik, lelaki dalam buruan itu juga didakwa individu yang mengatur pembayaran tunai ke dalam akaun Najib.

Post a Comment

0 Comments