Ukraine bergolak gara-gara berita palsu


SUASANA
di Ukraine tegang gara-gara penyebaran maklumat palsu berkaitan koronavirus.

Agensi berita antarabangsa melaporkan, puluhan penunjuk perasaan menyerang enam bas yang membawa 45 rakyat tempatan dan 27 warga asing yang dalam proses pemindahan dari kawasan terjejas koronavirus di China semalam.

Perkhidmatan Keselamatan Ukraine (SBU) memaklumkan, protes ganas itu tercetus selepas individu tidak bertanggungjawab menyebarkan e-mel palsu memaparkan kenyataan kononnya dikeluarkan Kementerian Kesihatan yang mendakwa beberapa individu dalam bas itu disahkan positif koronavirus.

Susulan keadaan tegang itu, tentera turut mengerahkan kenderaan perisai ke laluan bas tersebut untuk membuka semula sekatan dibuat kumpulan terbabit.

SBU turut dilapor telah melancarkan siasatan terhadap penyebaran maklumat palsu tersebut.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Zoryana Skaletska berkata, beliau juga sedia menyertai langkah kuarantin tersebut dan akan bertugas menerusi Skype. ia sebagai tanda solidariti dengan kumpulan yang dipindahkan itu.

“Saya berharap kehadiran saya dapat menenangkan mereka di Novi Sanzhary dan seluruh rakyat,” ujarnya menerusi Facebook.

Difahamkan, sesemua mereka yang berada dalam bas berkenaan dibawa ke spa kesihatan di Novi Sanzhary di wilayah Poltava untuk menjalani kuarantin selama 14 hari.

Sehingga kini, Ukraine belum merekodkan sebarang kes jangkitan Covid-19 yang berasal dari bandar Wuhan di wilayah Hubei