Sany Hamzan anggap tuduhan Shahidan Kassim berniat jahat


TUDUHAN Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim kononnya Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memberi peruntukan kepada Ahli Parlimen Pembangkang dianggap kenyataan melulu yang berniat jahat.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan dalam satu kenyataan berkata, kerajaan baharu ditubuhkan kira-kira sebulan yang lalu dan sebarang keputusan berkaitan peruntukan wakil rakyat belum pun diputuskan.

”Saya ingin tanya Shahidan, bila pula kerajaan membuat keputusan mengenai perkara ini.

”Belanjawan pun hanya sebahagian daripada peruntukan sahaja dibentangkan untuk membolehkan gaji kakitangan kerajaan dibayar.

”Bagi saya, tuduhan Shahidan ini bersifat melulu dan berniat jahat,” katanya.

Mohd Sany turut menyifatkan kenyataan Shahidan sebagai satu percubaan untuk memancing perhatian.

“Saya beranggapan kenyataan Shahidan ini hanya ingin memancing sahaja iaitu untuk menekan Kerajaan Perpaduan agar mereka diberikan peruntukan sama dengan wakil rakyat kerajaan melalui Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan nanti.

"Oleh itu, saya ucapkan ‘selamat memancing’ dan selamat mencuba kepada YB Arau,” katanya.

Selain Shahidan, beberapa pemimpin pembangkang antaranya Ahli Parlimen Jerantut dari PAS, Khairil Nizam Khirudin baru-baru ini mengutarakan isu peruntukan kepada pembangkang.

Isu yang diutarakan mereka itu turut menarik perhatian seorang pemimpin UMNO.

Nazri Aziz dipetik laporan Malaysiakini mempersoalkan apakah kerajaan Perikatan Nasional (PN) berlaku adil kepada wakil rakyat pembangkang ketika mereka berada di tampuk kerajaan.

"Kita tanya mereka balik, masa memerintah dulu mereka ada sebut tak hal ini. Adakah mereka terbuka hati untuk beri (peruntukan sama rata) kepada ahli parlimen pembangkang (ketika itu)? Tak ada.

Jangan beri gambaran buruk tentang kerajaan
"Janganlah bila kena baru nak cakap banyak," kata Ahli Parlimen Padang Rengas itu menurut portal itu.

Sebagai rekod, Shahidan merupakan bekas pemimpin UMNO  yang kini menjadi wakil rakyat PAS.

Dia digugurkan dari senarai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, beberapa hari kemudian dia bertindak bertanding diatas tiket PN.

Post a Comment

0 Comments