Jangan tiup api perkauman guna isu pendidikan , tegas MB S'ngor

 


KERAJAAN Negeri Selangor yang diterajui Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) sentiasa komited untuk memperkasakan institusi pendidikan di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, saban tahun kerajaan negeri memperuntukan hampir RM100 juta setiap tahun untuk membantu Kelas Al-Quran Fardu Ain (Kafa) dan Kafa Integrasi yang disalurkan melalui Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Dalam tempoh lima tahun ini, hampir setiap tahun kita berbelanja lebih RM90 juta untuk bantu Kafa dan Kafa Integrasi yang diuruskan Jais,” katanya menerusi rakaman video di Twitter.

Beliau memberi penjelasan itu bagi membidas tindakan pihak tertentu yang cuba meniup sentimen perkauman dan agama di Selangor susulan hasrat kerajaan negeri membantu membangunkan sebuah sekolah menengah persendirian Cina.
   
"Baru-baru ini terdapat beberapa muatan di laman media sosial yang mempertikai hasrat kerajan negeri membantu hasrat sekolah-sekolah persendirian Cina di negeri Selangor.

"saya ingin jelaskan hal ini supaya tidak timbulkan isu perkauman apatah lagi kekeliruan yang cuba ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab,' tegasnya.

Sebagai rekod, hanya terdapat empat sekolah menengah persendirian Cina di negeri Selangor yang kesemuanya terletak di dalam daerah Klang.

Walau bagaimanapun ada permintaan yang tinggi dari masyarakat untuk mendapatkan peluang pendidikan kedua untuk anak-anak mereka di sekolah menengah jenis itu.

"Kerajaan negeri semenjak dari tempoh beberapa tahun lalu cuba untuk mengenal pasti tanah untuk membina satu lagi sekolah di luar daerah Klang bagi memberi peluang generasi seterusnya mendapatkan pendidikan di sekolah menengah persendirian Cina," tambah Amirudin lagi.

Sementara itu jelasnya, berbanding hanya 4 sekolah menengah persendirian menengah jenis Cina, terdapat banyak sekolah menengah persendirian agama di negeri Selangor yang dibenarkan beroperasi secara bebas.

Beliau memberi contoh antaranya Sekolah Menengah Al-Amin yang mempunyai 12 rangkaian sekolah di Lembah Klang.

"Terdapat juga Sekolah Menengah Al-Huda milik Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mahupun sekolah Setiabudi, Sekolah Menengah Al-Hira atau Sekolah Safinatun Najah yang diberikan kebebasan laksana pendidikan mereka dengan pemantauan Kementerian Pendidikan Malaysia (KKM).


Amiruiddin turut menegaskan bagi tahun 2022 sahaja, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM26.5 juta lagi bagi menyokong sistem pendidikan di negeri itu  menerusi program Bantuan Sekolah Negeri Selangor

Hampir separuh dari jumlah itu pula telah diperuntukkan untuk membantu sekolah-sekolah agama rakyat berbanding sekolah jenis kebangsaan Cina atau Tamil

"Lebih istimewa pada tahun 2022, kita juga sedia peruntukan tambahan RM1.5 juta untuk sekolah-sekolah kebangsaan di negeri Selangor yang sebenarnya tanggungjawab itu adalah dibawah kerajaan persekutuan.


Amirudin bidas pihak cuba semai kebencian
"Bantuan yang julung kali kita perkenalkan ini adalah kerana kita dapat banyak aduan dari sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan yang berkaitan kemudahan yang berada dalam keadaan daif yang memerluan sokongan," tegasnya.


Justeru beliau  menasihati semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu pendidikan dengan mengapi-apikan perkauman melalui isu peruntukan demi kepentingan generasi akan datang.

"Lebih-lebih lagi di negeri Selangor yang masyarakatnya terdiri dari pelbagai bangsa, agama dan pemahaman," katanya dalam rakaman itu. 

Post a Comment

0 Comments