Wanita KEADILAN kecam tindakan jurulatih tampar pemain


TINDAKAN Seorang jurulatih menampar dua pemain bola tampar wanita semasa kejohanan bawah 14 tahun pada 16 Dis tahun lepas dianggap  sebagai eksploitasi terhadap kanak-kanak, kata Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Dipetik laporan media, Biro Guaman dan Undang-undang Wanita parti itu berkata serangan tersebut merupakan satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum denda RM2,000, penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

Justeru mereka menggesa supaya siasatan dilakukan dan individu terbabit didakwa bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang lagi.

"Dalam apa-apa ruang sekalipun serta bagi memberi satu mesej yang jelas bahawa kekerasan dan penderaan fizikal bukanlah sesuatu yang normal dan tidak patut diamalkan oleh mana-mana pihak lebih-lebih lagi terhadap kanak-kanak di bawah umur yang sepatutnya mendapat sokongan dan perlindungan.

"Wanita KEADILAN juga menyeru agar mana-mana pemain yang pernah menghadapi situasi seperti ini tampil ke hadapan dan mendapatkan bantuan daripada pihak yang sepatutnya.

"Jaminan perlindungan hendaklah diberikan kepada mangsa supaya isu seperti ini tidak menjadi satu isu yang ditutup atau digelapkan oleh mana-mana pihak," kata mereka.

Terdahulu, kejadian itu sempat dirakam dalam video Persatuan Bola Tampar Malaysia ketika perlawanan antara pasukan Melaka dan Johor.
 
Tindakan individu itu dipercayai berikutan dua pemain berkenaan menyebabkan pasukan kehilangan satu mata dalam perlawanan sebelum panggilan masa tamat.

Video yang tular di media sosial itu kemudian membangkitkan kemarahan banyak pihak sehingga menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Kedua-dua mereka kemudian berjanji akan memastikan siasatan terhadap perkara itu dijalankan.

Hannah malah menegaskan tidak sepatutnya perlakuan kasar dikenakan terhadap sesiapa sekali pun.

"Saya membaca komen mengenai insiden jurulatih skuad bola tampar wanita Melaka bawah 14 tahun yang menampar pemainnya dan ramai warganet berpendapat adalah salah menampar remaja perempuan.

Wanita KEADILAN mahu tindakan tegas dikenakan
“Menampar remaja lelaki juga salah, malah menampar sesiapa pun salah.

“Salah apabila dilakukan terhadap kanak-kanak, atlet, pasangan atau pembantu rumah,” katanya di Twitter.

Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) pada Ahad membuat keputusan untuk mengantung tugas jurulatih terbabit daripada melibatkan diri dalam semua aktiviti bola tampar kebangsaan sehingga siasatan selesai.

Post a Comment

0 Comments