COVID-19: Pelajar sekolah mungkin diwajibkan pakai pelitup muka


PELAJAR
sekolah mungkin diwajibkan memakai pelitup muka semula bagi mengekang lonjakan kes COVID-19 susulan penularan varian XBB.1.16, atau dikenali sebagai Arcturus.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa yang dipetik laporan Berita Harian berkata, beliau akan mengadakan pertemuan segera dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek untuk membincangkan dan memuktamadkan perkara itu sebelum sekolah dibuka semula pada 2 Mei.

Langkah itu tegasnya penting bagi memastikan pelajar yang dijangkiti ketika musim perayaan ini tidak menyebabkan COVID-19 kembali menular di sekolah.

"Saya akan bertemu Fadhlina minggu ini juga untuk membincangkan garis panduan mengapa kita perlu mengawal penularan wabak itu di sekolah, terutama selepas adanya varian baru Arcturus.

"SOP berhubung kawalan akan dikeluarkan sebelum pelajar kembali ke sekolah pada 2 Mei ini sebagai langkah berjaga-jaga.

"Ini penting kerana kita bimbang jika ada murid terkena jangkitan selepas bergerak ke sana sini sepanjang cuti raya yang mungkin menyebabkan COVID-19 kembali menular di sekolah," katanya seperti dipetik laporan itu.

Sementara itu menurut Dr Zaliha,  Ibu bapa tidak perlu panik apabila melibatkan penyebaran varian baharu ini kerana kebiasaanya mereka yang dijangkiti subvarian Omicron biasanya mengalami gejala ringan dan berada dalam keadaan stabil.

"Bagaimanapun, kami amat menggalakkan semua pihak termasuk pelajar untuk terus memakai pelitup muka bagi mengekang sebarang jangkitan.

“Sekiranya mereka mengalami simptom (Covid-19), mereka harus memakai pelitup muka dan mengekalkan penjarakan sosial seperti yang diamalkan sebelum ini dan mendapatkan bantuan perubatan,” katanya.

KKM terus laksana usaha kekang penularan
Arcturus ialah subvarian Omicron, varian yang dikatakan sangat mudah berjangkit dan kurang terdedah kepada vaksin.

Sebanyak 12 kes varian Arcturus telah dikesan, dengan enam daripadanya dikesan di Lembah Klang dan bakinya dikesan di Sarawak.

Post a Comment

0 Comments