TINDAKAN berterusan pemimpin Perikatan Nasional (PN) mempolitikkan isu penganjuran rumah terbuka Aidilfitri oleh kerajaan persekutuan dibidas seorang pegawai Perdana Menteri.
Kamil Munim yang juga setiausaha politik menteri kewangan berkata, dakwaan pembangkang bahawa penganjuran majlis itu sebagai satu pembaziran hanya persepsi untuk memburukkan pentadbiran Datuk Seri Anwar semata-mata.
Malah pembangkang tiada memberi bukti bahawa program yang mahu diadakan itu membazir seperti didakwa mereka.
“PN memberi hukuman bahawa pimpinan Kerajaan Malaysia Madani tidak berhak menganjurkan apa-apa program untuk rakyat hanya kerana prinsip penjimatan yang diperkenal perdana menteri,” katanya dalam kenyataan.
Ahad lalu, Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor berkata Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri di enam negeri bertentangan dengan pendirian berjimat-cermat Putrajaya.
Naratif itu kemudian diteruskan Timbalan Setiausaha PN, Takiyuddin Hassan melalui satu kenyataan semalam yang mendakwa penganjuran rumah terbuka di enam negeri yang bermula di Kedah pada 29 April itu bermotifkan politik dan mungkin melibatkan penyalahgunaan agensi dan jentera kerajaan.
"PN secara rasminya menjadikan rumah terbuka Aidilfitri kerajaan persekutuan sebagai modal yang mencetuskan permusuhan.
“Dakwaan motif politik dan tuduhan menggunakan jentera parti untuk persaingan pengaruh yang tidak dibuktikan adalah kenyataan berniat jahat untuk menimbulkan kebencian rakyat kepada pimpinan perdana menteri,” katanya Kamil Munim lagi.
Beliau sementara itu turut mempersoalkan kenyataan Takiyuddin itu yang bercanggah dengan kenyataan rasmi menteri besar mereka di Terengganu dan Kelantan yang terang mengalu-alukan kehadiran Anwar untuk menganjurkan sambutan Aidilfitri di negeri tersebut.
Katanya, sambutan Aidilfitri pada peringkat negeri oleh kerajaan persekutuan tidak wajar dilabelkan melangkaui sempadan hormat dan adab.
“Usaha mendekati rakyat tanpa mengira sempadan negeri kerajaan dan pembangkang adalah tanggungjawab bersama antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri," tegasnya.
![]() |
Berhenti buat persepsi burukkan pentadbiran Anwar |
0 Comments