PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad boleh diarah paksa untuk bersara jika beliau enggan memberikan komitmen terhadap peralihan kuasa menjelang awal tahun depan.
Pengasas Invoke Malaysia, Rafizi Ramli dalam satu sidang media sempena forum Iseas – Institut Yusof Ishak di Singapura berkata, Pakatah Harapan (HARAPAN) mungkin terpaksa mengambil pendekatan keras tersebut susulan rakyat mula hilang keyakinan dan sabar berhubung janji penyerahan jawatan perdana menteri yang sebelum ini telah dipersetujui.
"Jika (Mahathir) melepaskan (jawatannya) dengan rela, proses peralihan akan berjalan dengan sangat lancar," kata Rafizi seperti dipetik akhbar South China Morning Post semalam.
Untuk rekod, Rafizi merupakan antara tokoh yang bertanggungjawab merangka perjanjian di antara Mahathir dan Anwar menjelang pilihan raya umum pada 2018.
Beliau juga dikenali dikalangan penyokong sebagai arkitek kemenangan HARAPAN pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Sementara itu tambah Rafizi berkata, sememangnya tidak ada secara jelas tarikh penyerahan kuasa daripada Mahathir kepada Anwar dinyatakan, namun ia akhirnya nanti akan akan dimuktamadkan oleh Majlis Presiden HARAPAN.
Sementara itu tegas bekas Ahli Parlimen Pandan itu lagi, dalam isu peralihan kuasa itu, beliau tidak yakin ada mana-mana pihak sanggup mengambil tindakan nekad bagi memaksa agar peralihan kuasa itu berlaku tahun ini kerana mereka enggan mengeruhkan keadaan
Mengenai peluang Anwar menjadi perdana menteri, Rafizi menegaskan, ahli parlimen Port Dickson itu sebenarnya memiliki sokongan besar dalam kalangan ahli parlimen.