SURUHANJAYA PILIHAN RAYA (SPR) menasihati pengundi keluar mengundi mengikut masa yang digalakkan seperti yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.
Setiausaha SPR Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata pihaknya tidak menggalakkan penggundi keluar di saat-saat akhir.
Tambahnya, sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi boleh keluar mengundi mengikut kelapangan diantara pukul 8 pagi hingga 6 petang di semenanjung manakala 7.30 pagi hingga 5.30 petang di Sabah dan Sarawak atau waktu yang telah diwartakan.
Pengundi juga dinasihatkan untuk membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
Seramai 20,853,681 orang pengundi bakal mengundi pada PRU15 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah hari ini.
Sebanyak 8,958 pusat mengundi dibuka membabitkan 38,348 saluran dengan seramai 363,515 orang ditugaskan bagi proses pengundian.
Walaubagaimanapun bagi Parlimen Padang Serai, pengundian ditangguhkan pada 7 Disember depan susulan kematian seorang calonnya.
Orang ramai yang hadir untuk mengundi hari ini juga digalakkan memakai pelitup separuh muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa mensanitasi tangan sepanjang berada di pusat mengundi.
“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam. Sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan,” katanya.
Bagi pengundi yang positif COVID-19, Ikmalrudin berkata SPR sekali lagi menyarankan pengundi untuk berhubung terus dengan pegawai kesihatan daerah (PKD), bagi mendapatkan maklumat lanjut dan sewajarnya bagi memudahkan urusan pengundian.
Jangan tunggu saat akhir, bimbang terlepas peluang |
Ikmalrudin berkata SPR turut menetapkan bahawa pengundi yang membawa telefon bimbit ke tempat mengundi perlu meletakkan telefon bimbit di tempat yang telah disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi.
0 Comments