Prasarana tawar tambang percuma sempena hari mengundi


PRASARANA Malaysia Berhad (Prasarana) memberi tambang percuma sepanjang hari ini sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Melalui satu kenyataan, Prasarana berkata, tawaran tambang percuma bagi memudahkan rakyat Malaysia keluar mengundi dengan mudah, tenang dan selamat.

Tawaran itu meliputi kesemua perkhidmatan di bawah kendaliannya membabitkan Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan.

Ia turut merangkumi Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Monorel, Transit Aliran Bas (BRT) atau bas henti-henti.

"Ini adalah langkah Prasarana sebagai sebuah syarikat Malaysia memudahkan rakyat keluar mengundi demi menjalankan tanggungjawab dan hak mereka," menurut kenyataan itu.
 
Kenyataan itu turut memaklumkan pengguna My50 boleh menggunakan pas seperti biasa manakala pengguna kad Touch 'n Go boleh menggunakan kad tanpa sebarang caj.

Sementara itu, pengguna token pula perlu ke mana-mana Pejabat Khidmat Pelanggan di stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT untuk mendapatkan token khas perjalanan sehala.

Bagi perkhidmatan Rapid Bus di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kuantan termasuk bas perantara MRT pula. Prasarana memaklumkan pengguna tidak perlu menyentuh kad di mesin pengimbas apabila menaiki atau turun daripada bas.

Pulang mengundi, tunai tanggungjawab


Dalam perkembangan berkaitan Perjalanan feri dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi bermula semalam  untuk memudahkan pengundi pulang mengundi sempena PRU.


Pengurus Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, pihaknya menambah satu perjalanan, menjadikan keseluruhan enam perjalanan ke pulau itu, sehingga Ahad.
 
Sebelum ini Majlis Belia Malaysia (MBM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Rasuah Busters menyediakan khidmat lapan buah bas bagi rakyat Malaysia untuk pulang mengundi di saat akhir.

Program Tampung Tumpang Balik Mengundi hasil sumbangan beberapa pihak itu menyediakan khidmat bas ke 32 lokasi berlainan di seluruh Semenanjung, mensasarkan individu yang terlepas peluang untuk mendapatkan tiket pengangkutan awam dan golongan yang kurang berkemampuan.

Menurut Setiausaha Agung ABIM, Fazril Saleh, inisiatif ini bagi menggalakkan orang ramai untuk menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi pada PRU15.

Post a Comment

0 Comments