AMK tidak setuju benar operasi kedai gunting rambut


KEPUTUSAN
untuk membenarkan perkhidmatan gunting rambut menyambung semula operasi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Terbaharu, Angkatan Muda KEADILAN (AMK) turut membuat kenyataan tegas tidak bersetuju dengan kebenaran itu termasuk apa-apa perkhidmatan lain yang memerlukan kontak secara terus dengan pelanggan.

Ketuanya, Akmal Nasir berkata, kebenaran itu perlu ditarik balik agar pengorbanan petugas kesihatan barisan depan dan warga yang mematuhi PKP sehingga hilang pendapatan untuk membendung wabak koronavirus (Covid-19) tidak sia-sia.

“Bolehkah kita berkorban sedikit lagi untuk pertahankan penjarakan sosial? Saya mohon maaf kepada pengusaha-pengusaha kedai gunting kerana mesej ini.

“Namun pandangan saya, eloklah kedai gunting rambut dan perkhidmatan lain yang ada kontak secara terus dengan pelanggan ditutup dahulu,” kata anggota Parlimen Johor Bahru itu dalam kenyataan.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebelum ini mengeluarkan senarai sejumlah perkhidmatan dan sektor yang boleh memohon untuk menyambung operasi sepanjang PKP, antaranya perkhidmatan gunting rambut asas dan dobi bukan layan diri.

Terdahulu, Persatuan Pendandan Rambut India Selangor dan Wilayah Persekutuan turut tidak bersetuju dengan keputusan itu.

Pengerusinya Ganathiban Murugan berkata pekerjaan menggunting rambut memerlukan kontak dengan pelanggan, justeru beliau mempersoalkan kemampuan untuk mengekalkan jarak satu meter seperti yang disarankan.

“Kita tidak tahu siapakah yang dijangkiti virus. Cadangan saya, jangan buka kedai pada masa ini. Masanya tidak sesuai.”

“Sama ia boleh (dilaksanakan), saya tidak pasti. Kami sedia tutup sejak 18 Mac, kenapa tidak tuunggu sehingga lepas 28 April?” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.