Persatuan Akademik selar cadangan menteri


PENGGUNAAN
aplikasi TikTok dikalangan golongan belia di negara ini dikhuatiri melekakan dan boleh merosakkan penggunaan bahasa.

Demikian pandangan disuarakan Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (PKAUM) yang mengulas penganjuran satu pertandingan membabitkan aplikasi itu oleh Menteri Pengajian Tinggi (KPT) Noraini Ahmad sebelum ini.

"PKAUM membantah sekeras-kerasnya cadangan penggunaaan aplikasi TikTok yang bukan sahaja merosakkan penggunaan bahasa tetapi juga melekakan. lantas tidak membantu membentuk individu cemerlang dan proaktif yang menjadi aspirasi sesebuah negara maju dan membangun seperti Malaysia.

"Lebih menakutkan apabila aplikasi TikTok ini dikatakan memberi ruang jenayah siber terhadap kanak-kanak," kata Setiausaha PKAUM Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz dalam satu kenyataan.

Tegas PKAUM, sebagai menteri pengajian tinggi Noraini sepatutnya mencari jalan bagi memastikan mekanisma pembelajaran efektif berterusan boleh dilaksanakan di setiap kediaman dan ruang pengasingan mahasiswa dan pasca-ijazah semasa tempoh perintah kawalan pergerakan ini.

"Di antaranya ialah memastikan kelengkapan, infrastruktur serta jalur gelombang internet mencukupi untuk penggunaan semua warga IPT merangkum pelajar, pensyarah dan guru bagi membolehkan matlamat dan proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian dilaksanakan dengan komprehensif dan berkesan.

"Kekangan yang dihadapi oleh seluruh warga IPT (institusi pengajian tinggi) dengan bilangan keluarga dan saiz kediaman yang berbeza dalam melaksanakan kerja dari rumah juga perlu dihargai dan dipertimbangkan.

"Banyak yang perlu diselesaikan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran yang sempurna," katanya lagi.

Noraini sebelum ini memuat naik hantaran poster dan video pertandingan TikTok di media sosialnya, yang terbuka kepada mereka yang berusia 18 hingga 26 tahun, dari semalam hingga 14 April.

Tindakan itu mendapat kritikan pengguna maya kerana disifatkan tidak menyelesaikan masalah mahasiswa yang berdepan pelbagai masalah sepanjang tempoh PKP.

Sementara itu, Noraishah turut menyarankan Noraini mendapatkan nasihat daripada cendekiawan serta sarjana dalam menjana idea-idea lebih baik dan berkesan untuk golongan belia.

Post a Comment

0 Comments