KES pesakit baru dikesan positif koronavirus (Covid-19) kembali meningkat berbanding jumlah psakit pulih.
Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memaklumkan sebanyak 184 kes baru dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari ini, berbanding 165 kes pulih.
Sementara itu Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan tiga lagi pesakit meninggal dunia akibat wabak itu, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 73.
Menurutnya kes kematian ke-71 merupakan pesakit 3,091 berumur 66 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan gout. Beliau mempunyai kontak rapat kes positif Covid-19 dari kluster perhimpunan Seri Petaling (iaitu pesakit 452).
Mangsa telah dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan pada 1 April dan disahkan meninggal dunia pada jam 12.05 tengah hari, hari ini.
Bagi kematian ke-72 pula, melibatkan seorang lelaki berumur 71 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung. Mangsa, pesakit ke 537 telah dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 15 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam 11.15 pagi, hari ini.
Lelaki warga Malaysia berumur 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi menjadi mangsa ke-73. Pesakit 2,399 itu dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak pada 25 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam 12.00 tengah hari, hari ini.
Sementara itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan jumlah keseluruhan kes adalah 4,530, dengan 1,995 kes telah pulih sepenuhnya.
Daripada jumlah itu, 72 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi, lebih tiga kes berbanding semalam dengan 38 pesakit memerlukan bantuan pernafasan, berbanding 40 semalam.
0 Comments