Anwar tolak tuduhan remehkan agama


PRESIDEN
Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengakui beliau seorang yang liberal.

Melalui muatnaik sebuah video soal jawab di laman Facebooknya, Anwar menjelaskan bahawa makna liberal yang difahaminya adalah berhubung pendirian untuk mendengar pandangan diutarakan pelbagai pihak.

Ahli Parlimen Port Dickson itu bagaimanapun menegaskan bahawa beliau bukan seorang yang liberal dalam soal berkaitan hukum hakam atau akidah sebagai seorang Islam, sepertimana cuba digambarkan terhadapnya.

"Kita ini liberal makna kita sedia mendengar, sedia menolak, sedia tasamuh toleransi dengan padangan.

"Tapi bukan liberal sebagai seorang muslim, soal akidah nak liberal macam mana, solat lima kali sehari, saya tak liberal, puasa bulan Ramadan itu saya tak liberal.

"Tapi orang bagi pandangan, dia itu dari seorang ateis atau seorang komunis, dia memberi pandangan saya mahu dengar, saya mahu hujah, saya jawab.

"Saya tidak hukum dia, saya tidak penjarakan dia kerana pandangan dia," katanya melalui video berkenaan.

Sebagai rekod, maksud perkataan liberal diangkat dari perkataan  Liberalisme, pengertiaannya mungkin berubah mengikut konteks sesebuah negara.

Liberal dari istilah politik boleh dimengertikan sebagai kefahaman dimana seseorang itu adalah asas undang-undang dan masyarakat dengan institusi-institusi kerajaan yang wujud di dalam masyarakat berfungsi untuk memperjuangkan hak-hak peribadi tanpa memilih kasih kepada sesiapa yang mempunyai taraf sosial yang tinggi.

Sistem liberalisme politik menekankan perjanjian sosial yang mana rakyat merangka undang-undang and bersetuju untuk mematuhi undang-undang tersebut. Ini adalah berdasarkan pemikiran di mana seseorang itu lebih mengetahui apa yang terbaik untuk dirinya. Liberalisme politik mengandungi semua lapisan masyarakat tanpa mengira jantina, kaum atau taraf ekonomi.

Ia juga merujuk kepada pemisahan kuasa antara eksekutif, penggubal undang-undang dan kehakiman serta mematuhi kedaulatan undang-undang dan jaminan terhadap hak asasi manusia.

Tolak peremehan agama


Sementara itu, Anwar turut menegaskan bahawa dirinya sendiri akan menolak liberal dalam erti kata meremehkan agama, menolak akidah dan akhlak.

Tegasnya, ada rakyat yang melihat tindakan merompak sehingga berbilion ringgit dianggap tiada mudarat namun merasa bimbang dengan liberal dari istilah politik seperti mendengar pandangan kumpulan yang bertentangan dengan keyakinannya seperti LGBT yang bukan bererti menyokong atau bersetuju dengan mereka.

"Itu kalau dianggap saya liberal kerana saya sanggup mendengar mereka itu, ok.

"Kalau tidak kalau saudara pilih satu sistem kuku besi, ya sistem macam Taliban yang semua tak boleh, semua kena hukum yang wanita pergi sekolah pun tak boleh, itu nasib kita," katanya.

Sebagai rekod, Dokumen Rukun Negara yang dibentuk oleh Majlis Gerakan Negara pada 31 Ogos 1970 mencatatkan pada bahagian pengisytiharannya, antara cita-cita yang didukung Malaysia adalah "hendak menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak."

Berbanding maksud liberal terpesong seperti difahami sebahagian penyokong politik tempatan, Pusat Rujukan Persuratan Melayu mentakrifkan liberal antaranya bermaksud "(bersifat) condong kepada kebebasan dan pemerintahan yang demokratik" atau "berfahaman bebas" atau "berpandangan terbuka" (tidak terkongkong kepada sesuatu aliran pemikiran dan sebagainya).

Post a Comment

0 Comments