Shamsul Iskandar nafi ganjaran untuk klip video


KETUA Penerangan Parti Keadilan rakyat (KEADILAN) Shamsul Iskandar Mohd Akin menafikan wujud usaha untuk mengajak rakyat supaya menghasilkan video pendek mengkritik pentadbiran Muhyiddin Yasin seperti yang tular baru-baru ini.

Tegasnya, tuduhan bahawa pihaknya penyediaan dana atau habuan untuk video pendek daripada orang ramai itu adalah tidak benar kerana parti itu sendiri tiada keupayaan kewangan seperti itu.

Tambahnya, apa yang berlaku adalah rakyat sendiri merasa tidak senang dengan kenyataan barisan dalam pentadbiran Muhyiddin yang membuat tindakan tidak masuk akal.

“Seperti meminum air suam akan membantu membunuh virus, atau saranan kementerian supaya para isteri membuat suara Doraemon, atau melakukan sanitasi jalan raya dengan membazirkan peralatan perlindungan diri, atau mengajak mahasiswa bermain TikTok, atau yang terbaru tindakan Umno menyerang Dr Musa Nordin.

“Rakyat mempunyai kesedaran dan kemampuan untuk berfikir secara rasional dan kritis.

“Apabila melihat kelemahan Perikatan Nasional (PN) dalam mengendalikan krisis yang mengancam negara dan nyawa rakyat, sudah pasti mereka akan menyuarakan kritikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Media sebelum ini mendakwa bekas parti gabungan pemerintah itu memulakan kempen mengkritik pentadbiran kerajaan yang terhasil dari 'langkah Sheraton' dengan menghantar video pendek kritikan. Malah laporan itu turut mendakwa ada habuan disediakan bagi video yang dihasilkan itu.

Sementara itu, Shamsul menyifatkan dakwaan tersebut sebagai serangan terhadap dirinya serta parti yang dianggotainya.

“Cubaan mengalihkan kritikan untuk menyerang saya dan KEADILAN sudah pastinya adalah lebih malang kerana pada saat ini kita harus memfokuskan kepada ikhtiar membendung penularan wabak dan menyelamatkan negara, bukan bermain politik,

“Jangan memandang rendah kebijaksanaan rakyat. Itu adalah amalan politik usang dan lapuk.

Ini yang membezakan antara kerajaan yang dipilih melalui mandat rakyat dengan kerajaan pengkhianat mandat rakyat,” kata ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu lagi.

Post a Comment

0 Comments