PENARIKAN balik kawalan pergerakan "terlalu awal" boleh mencetuskan penularan semula Covid-19 dengan situasai jauh lebih buruk.
Amaran itu dibuat Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Jumaat susulan beberapa negara sudah merancang untuk menarik balik arahan duduk di rumah.
Austria dan Switzerland, masing-masing bercadang melonggarkan sekatan bermula pertengahan dan hujung April berikutan jumlah jangkitan Covid-19 menunjukkan trend penurunan, lapor agensi berita Xinhua.
"Langkah itu boleh menimbulkan keadaan lebih berbahaya jika tidak dikendalikan dengan cara yang betul," katanya Tedros.
Ketua WHO itu menegaskan, sebarang keputusan untuk menarik balik kawalan pergerakan seharusnya dengan syarat penularan sudah dapat dikawal; perkhidmatan perubatan dan kesihatan awal yang secukupnya; risiko penularan di kemudahan khas seperti lokasi penjagaan jangka panjang diminimumkan; langkah pencegahan diambil di tempat kerja, sekolah dan tempat tumpuan orang ramai; risiko kes import dapat dikawal.
Komuniti juga tegasnya perlu sudah sedar dan faham mengenai kepentingan menjaga kesihatan dan penjarakan sosial dalam tempoh peralihan ini sebelum perintah kawalan itu boleh ditarik balik.
Sementara itu, WHO kini sedang bekerjasama dengan negara terjejas Covid-19, berhubung strategi bagaimana untuk melonggarkan kawalan pergerakan secara berperingkat dan selamat.
Di seluruh dunia, hampir 1.5 juta kes positif Covid-19 dilaporkan kepada WHO, dengan lebih 92,000 kematian.
0 Comments