K'jaan digesa guna mekanisme betul elak kes Covid-19 melonjak

 


KERAJAAN
perlu memastikan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dapat mencapai matlamat untuk menurunkan kadar jangkitan baharu harian di negara ini.

Bekas Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye dipetik laporan FMT berkata, kerajaan boleh menamatkan PKP penuh apabila kes harian dicatatkan sekitar 2,000 hingga 3,000 sehari, dan fokus kepada melaksanakan PKP diperketat (PKPD) di lokaliti lebih kecil

“Jika tidak, perlu lanjut dua minggu lagi dan itu bukan petunjuk yang baik,” kata Ahli Parlimen Gopeng itu dipetik laporan tersebut.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh atau 'total lockdown' yang sepatutnya berakhir 14 Jun ini disambung untuk tempoh dua minggu lagi, berkuat kuasa pada 15 Jun sehingga 28 Jun 2021.

Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira jumlah kes harian yang masih tinggi, iaitu melebihi 5,000 kes sehari dengan purata kes baru sehingga semalam ialah 6,871.

Sementara itu, Boon Chye menggesa kerajaan menerapkan mekanisma yang betul supaya kes tidak kembali melonjak.

“Jika gagal buat ujian, kesan kontak dalam tempoh 24 jam, atau percepat vaksinasi, bilangan kes akan naik mendadak,” katanya lagi.
 
Beliau juga menggesa kerajaan untuk membuat keputusan yang tepat bagi mengelak sekatan penuh atau PKP lagi di masa hadapan.

 Boon Chye gesa elak 'total lockdown' lagi
Persatuan PKS Malaysia baru-baru ini memberi amaran bahawa 50,000 syarikat mungkin gulung tikar jika PKP penuh berlanjutan lebih enam minggu. Akibatnya, 250,000 orang mungkin kehilangan pekerjaan.

Lee turut menggesa kerajaan cepat mengenal pasti PKPD di lokaliti lebih kecil untuk mengekang penularan.

“Mari kita berharap kesalahan masa lalu tidak berulang,” katanya.

Post a Comment

0 Comments