Abang Veveonah cabar menteri PN


KENYATAAN seorang timbalan menteri dalam Dewan Rakyat yang mendakwa seorang pelajar  Universiti Malaysia Sabah (UMS) berbohong demi meraih publisiti di Youtube belum berakhir.

Pada hantaran Facebook lewat malam tadi, Mekvin Mosibin mempertahankan tindakan adiknya dan mencabar timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin berkunjung ke kampung Pitas untuk menyaksikan sendiri kemudahan yang ada di sana.

Turut dicabar ialah Ahli Parlien Kudat, Abdul Rahim Bakri yang merupakan timbalan Menteri kerajaan perikatan Nasional (PN).

"Cuba kau masuk kampung pendalaman. Lai lai lai, mai mai mai, tapi jangan pilih kampung pula, mesti seluruh tempat kekuasan mu itu.

"Sampai lubang cacing kau datang turun padang. Cuba ambil pengalaman melayar internet di kampung pendalaman pula bagaimana rasanya kepada YB atau timbalan menteri.

"Itu baru Internet belum lagi bekalan air, bekalan elektrik, jalan aspal kena viral," kata Mekvin.

Pelajar itu, Veveonah Mosibin menyiarkan video YouTube memaparkan dirinya memanjat pokok bagi mendapatkan capaian Internet untuk peperiksaan dalam talian.

Zahidi Zainul Abidin dalam Dewan Rakyat bagaimanapun mendakwa Veveonah sebenarnya tidak mempunyai sebarang peperiksaan dan melakukannya hanya sekadar hiburan dan menempah nama.

Veveonah kemudian tampil menunjukkan bukti jadual peperiksaannya, Zahidi kemudian tampil meminta maaf dan mendakwa mendapat maklumat berkenaan daripada Abdul Rahim.

Abdul Rahim kemudiannya dilapor media sebagai bertindak balas dengan berusaha untuk terus memperlekehkan Veveonah dengan berkongsi sumber maklumatnya.

Beliau memadamkan hantaran di Facebooknya selepas netizen mengkritiknya kerana menggunakan platform media sosial untuk menyasarkan pelajar berusia 18 tahun itu.

Sementara itu, Mekvin mendedahkan sikap Abdul Rahim yang menurutnya jarang-jarang dilihat di Pitas.

Susulan itu beliau menggesa wakil rakyat itu turun padang bagi melihat sendiri kesusahan dialami penduduk kawasan Parlimen itu.

"Turun padang kau YB masa hujan rasakan jalan tu...

"Jangan pakai kereta, pakailah motor kapcai ya, orang kampung kan pakai motor kapcai, mana lah mampu beli motor mahal, kereta mahal," katanya lagi.

Mengenai dakwaan ahli politik Bersatu itu bahawa keluarga Mosibin sudah tidak lagi tinggal di kampung berkenaan, Mekvin mengakui hal ini sebagai benar tetapi mendakwa mereka 'dihalau' oleh ketua kampung tempatan yang sama yang memberikan maklumat kepada Abdul Rahim.

"Ketua kampung inilah dulu suami isteri pengurus bahagian JKKK di Kampung Sapatalang yang mengusir bapa saya. Sedangkan bapa saya orang asal Kampung Sapatalang," jelasnya dipetik sebuah laporan media tempatan.

Post a Comment

0 Comments