Anwar bertemu Dr Mahathir, bincang pelbagai isu


PRESIDEN
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya.

Menerusi hantaran di Facebooknya semalam, Anwar berkongsi secara ringkas inti pati pertemuan mereka.

Dalam pertemuan itu jelas Anwar, mereka berdua membincangkan perkembangan isu-isu semasa mutakhir ini yang berlaku di dalam dan luar negara.

"Antara yang turut disentuh termasuk hal ehwal berkaitan Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN), selain turut berkesempatan membincangkan tentang penganjuran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang baharu berlangsung penghujung tahun lalu," tulisnya.

Anwar turut memuat naik sekeping gambar memaparkan pertemuannya dengan Dr Mahathir.

Kedua pemimpin dilihat sering bertemu bagi membincangkan isu kritikal negara.

Pada 27 Mei lalu, Anwar mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathi dan berbincang mengenai beberapa isu antaranya ancaman Amerika Syarikat (AS) ke atas kepimpinan Iran.

Pertemuan seterusnya berlangsung selama setengah jam pada 21 November 2019 di antara kedua-dua pemimpin itu di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Susulan pertemuan itu, Anwar turut mengeluarkan kenyataan berhubung beberapa isu yang dibincangkan dan mendapat persetujuan Dr Mahathir.

Antaranya berkaitan dakwaan terhadap kalangan anggota jemaah menteri yang menyalahgunakan kuasa atau meraih dukungan politik menerusi pemberian projek, Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) termasuk berkaitan peralihan kuasa antara mereka berdua yang menurutnya perlu dijalankan secara aman dan teratur.

Sebagai rekod, Anwar merupakan individu yang dinamakan HARAPAN bagi mengantikan Dr Mahathir yang kini memangku jawatan Perdana Menteri secara Interim. 

Namun sehingga kini, Dr Mahathir belum dengan jelas mengumumkan tarikh peralihan kuasa itu akan ditunaikan.

Post a Comment

0 Comments