Kementerian Luar pantau rakyat Malaysia di Lubnan

KEMENTERIAN Luar Negeri (Wisma Putra) sentiasa memantau perkembangan terkini di Lubnan berikutan serangan di Beirut dan peningkatan pertempuran rentas sempadan di selatan negara itu.
 
Melalui satu kenyataan, Wisma Putra memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Beirut sentiasa berhubung dengan rakyat Malaysia dan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia yang menetap di negara itu  kekal menjadi keutamaan.

Pihaknya juga sentiasa berkomunikasi dengan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-11 yang berkhidmat dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) untuk memastikan keselamatan pasukan pengaman negara.
 
"Berdasarkan rekod kedutaan, seramai 23 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan, dan semuanya dilaporkan dalam keadaan selamat.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, Kementerian Luar Negeri ingin menasihatkan semua rakyat Malaysia yang menetap di Lubnan supaya sentiasa berwaspada terhadap keselamatan mereka.

"Rakyat Malaysia juga dinasihatkan untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat atau kembali ke Malaysia secara sukarela sekiranya terdapat risiko ke atas keselamatan mereka," katanya.

Sementara itu kementerian menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke Lubnan berikutan keadaan yang tidak menentu di negara berkenaan.
 
"Sekiranya mana-mana rakyat Malaysia memerlukan bantuan konsular, Kedutaan Malaysia di Beirut boleh dihubungi di alamat: Lot 170, Saad Zaghloul Street, Downtown, Beirut, Lubnan. Nombor telefon: +961 7677 2527, +961 7138 0063 atau emel: mwbeirut@kln.gov.my," tambah kenyataan itu.

Post a Comment

0 Comments