KEADILAN Perak perkukuh kerjasama untuk hadapi PRU16


 

PARTI KEADILAN RAKYAT (KEADILAN) Perak bakal memperkukuh kerjasama dengan Barisan Nasional bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pengerusinya Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, hubungan erat diperingkat akar umbi dan kepimpinan kedua-dua parti akan melahirkan semangat kebersamaan dan mengikis pemikiran skeptikal di antara kedua-dua pihak yang sebelum ini berbeza sudut pandang serta ideologi politik.

"Hubungan sedia ada bersama BN berjalan baik cuma ia perlu diperkasakan melalui pelbagai program atau aktiviti yang memberi manfaat serta nilai tambah antara kedua-dua pihak.

"Memang kita berharap dapat meneruskan gabungan ini untuk pilihan raya akan datang kerana kita boleh lihat keputusan-keputusan pilihan raya sebelum ini apabila kerjasama itu dapat diperkuatkan, dapat digarapkan mudah untuk kita menawan kerusi-kerusi pernah ditandingi sebelum ini,” katanya pada sidang media di Pejabat KEADILAN negeri Perak.

Sementara itu, Mohamad Hairul memaklumkan, penstrukturan semula barisan kepimpinan KEADILAN Perak telah dilaksanakan bagi memastikan gerak kerja parti di pelbagai peringkat berjalan lancar.

Pihaknya juga memberi tumpuan khusus bagi meningkatkan jumlah keahlian anggota baharu terutama golongan belia yang menjadi komponen penting dalam mengukuhkan keberadaan parti di Perak.
 
Pada 15 September lalu, Mohamad Hairul dilantik sebagai Pengerusi KEADILAN negeri menggantikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Mohd Azlan Helmi yang sebelum ini merupakan Setiausaha KEADILAN negeri pula dilantik sebagai timbalan sepertimana diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Selain itu, Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing yang sebelum ini menjawat Pengarah Jabatan Pilihan Raya Perak dilantik sebagai Naib Pengerusi manakala tempatnya diambil alih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Wong Chai Yi.

Muzaffar Shah Khairuddin pula dilantik menggantikan Mohd Azlan manakala tempatnya sebelum ini sebagai bendahari diambil alih ADUN Teja, Sandrea Ng Shy Ching.

Post a Comment

0 Comments