PM Anwar nyatakan komitmen perkasa industri sawit negara

PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan komitmen bahawa pentadbirannya akan memastikan industri sawit negara terus diperkasa.

Melalui satu hantaran di laman Facebooknya beliau berkata, kerajaan telah meneruskan siri libat urus untuk mendengar pandangan setiap segmen masyarakat termasuk pemain industri di negara ini menjelang pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober ini.

"Dalam sesi libat urus, beberapa perkara telah disentuh dan diberi perhatian antaranya isu berkaitan tenaga kerja asing dan kadar pengeluaran sawit yang rendah.

"Di samping itu, usaha meningkatkan aktiviti hiliran berkaitan sawit dalam usaha memastikan kelangsungan industri sawit negara turut dibincangkan," katanya.

Siri libat urus Perdana Menteri itu adalah bersama Menteri Besar Perak, Menteri Perladangan dan Komoditi, Ketua Setiausaha Negara serta pegawai kanan kerajaan dan pemain industri sawit.

Sebagai rekod,  Malaysia merupakan pengeksport kelapa sawit kedua terbesar di dunia mencecah RM100 bilion daripada keseluruhan RM160 bilion hasil yang dikeluarkannya.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada Ogos lalu memaklumkan, eksport minyak sawit Malaysia melonjak 39.92 peratus kepada 1.69 juta tan pada Julai 2024 daripada 1.21 juta tan pada Jun 2024.

Bagi tempoh sama, oleokimia dan minyak isirung sawit  juga mencatatkan peningkatan eksport masing-masing sebanyak 24.91 dan 18.94 peratus.

Post a Comment

0 Comments