N9 bincang keperluan bubar DUN serentak negeri lain

PAKATAN HARAPAN (HARAPAN) Negeri Sembilan akan mengadakan perbincangan bersama kepimpinan parti peringkat negeri mengenai keperluan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan Parlimen sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada masa terdekat.

Pengerusinya, Datuk Seri Aminuddin Harun dipetik laporan Sinar berkata, isu itu juga akan dibawa ke Majlis Presiden gabungan itu bagi menyatakan pandangannya.

"Di peringkat negeri saya akan bincang dengan rakan dalam HARAPAN untuk tentukan sama ada ikut atau tidak (bubar DUN serentak Parlimen).

"Kita tak terikat dengan Parlimen tetapi saya dah arahkan semua bersedia hadapi PRU15,” kata Menteri Besar itu.

Aminuddin sebelumnya ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri semalam.

Beliau berkata, pihaknya beranggapan paling cepat (PRU15) diadakan dua bulan dari sekarang, hujung tahun ini atau awal tahun depan, bergantung kepada Perdana Menteri.

Bagi tujuan itu jelasnya, HARAPAN Negeri Sembilan telah mula mempersiapkan jenteranya.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Fahmi Fadzi sebelum ini berkata bahawa HARAPAN mempertimbang membubarkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pentadbirannya lebih bagi membolehkan pilihan raya dijalankan serentak dengan negeri lain.

Aminuddin ambil pandangan pimpinan negeri
Bercakap kepada Utusan Malaysia beliau bagaimanapun berkata belum menerima maklumat terkini daripada DUN mengenai perkara tersebut.

“Kita sudah masuk 12 bulan terakhir sebelum DUN dan Dewan Rakyat bubar secara automatik, jadi kemungkinan besar perkara itu berlaku memang ada. Tetapi setakat ini, saya belum terima maklumat dan pendirian terkini DUN khususnya Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang,” katanya dipetik.