Nak bela Melayu: Anwar bidas alasan Tun M tubuh GTA


PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka menolak gagasan baru kerjasama politik Melayu-Islam yang dilancarkan Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya hari ini.

Sambil menegaskan bahawa kebanyakkan masalah melanda di negara hari ini berpunca daripada amalan rasuah, Anwar mahu rakyat di negara ini sedar bahawa kegemilangan Malaysia dapat dibina kembali dengan memilih pemimpin yang dapat mengurus kerajaan dengan baik bukan berdasarkan etnik mereka.

Mengulas lanjut gagasan dibentuk Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air itu, Anwar secara sinis berkata, sekiranya benar gagasan itu dibentuk bagi membela orang Melayu-Islam, Mahathir sudah semestinya melakukannya sebelum ini.   

“Kalau betul bela Melayu-Islam, dalam 22 bulan (jadi perdana menteri kali kedua) dia patut dah tolong.

“Tapi Melayu yang dia pilih itu tak sebenarnya mewakili sentimen Melayu.

“Jadi bagi saya apa isu pokok adalah pengurusan kerajaan yang baik, pilih pimpinan yang tak merompak dan mencuri kekayaan, boleh siasat semua,” katanya kepada pemberita di bangunan parlimen.

Mahathir mengumumkan gabungan baru politik yang dinamakan Gerakan Tanah Air (GTA).

Ia dianggota oleh Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) pimpinan veteran politik Ibrahim Ali dan serpihan PAS Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Dengan matlamat melawan Umno, Mahathir turut menegaskan mereka mahu membela serta menyelesaikan masalah yang dihadapi orang Melayu sejak sekian lama.

Mengapa Tun M tak lakukan masa 22 bulan jadi PM?
Mereka mensasarkan bertanding di 120 daripada 222 kerusi parlimen dalam pilihan raya umum akan datang dan akan mendaftarkan GTA secara rasmi sebagai parti politik dalam masa terdekat.

Ditanya mengenai calon perdana menteri gabungan itu, Mahathir berkata ia akan ditentukan selepas PRU15.

"Kita tentukan selepas menang PRU dulu," katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments