SEORANG ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat jual beli emas beroperasi di Batu Pahat ditahan kerana membuat laporan palsu kononnya wang tunai dan pelbagai barangan kemas bernilai lebih RM1 juta disamun.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, turut ditahan bersama lelaki berusia 26 tahun itu adalah pemandunya yang berusia 30 tahun.
Sebelumnya mereka hadir membuat laporan yang mendakwa disamun seorang lelaki di hadapan sebuah stesen minyak di Bandar Perda, Pulau Pinang.
"Dalam laporan polis itu, CEO terbabit mendakwa dia bersama pemandu keluar dari sebuah kedai emas di Bandar Perda, selepas selesai menjalankan urusan perniagaan, sebelum mereka yang menaiki sebuah kereta berhenti di stesen minyak untuk membeli air.
"Ketika kejadian, lelaki itu memberitahu dia berada dalam kereta, manakala pemandunya turun untuk membeli air sebelum mendakwa seorang lelaki secara tiba-tiba masuk melalui pintu belakang kereta, dan terus mengambil beg mengandungi wang tunai serta barang kemas, sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal," katanya pihak polis dalam kenyataan.
Katanya lelaki itu mendakwa beg tersebut mengandungi wang tunai berjumlah RM418,000 dan pelbagai barang kemas bernilai lebih RM600,000, yang disamun lelaki dalam kejadian tersebut.
Bagaimanapun siasatan lanjut pihaknya mendapati CEO itu sebenarnya membuat laporan palsu dan lelaki itu telah berpakat bersama pemandu serta dua lagi rakan mereka, yang bertindak sebagai penasihat serta penyamun dalam kes tersebut.
Mereka melakukan tindakan tersebut kerana mahu membuat tuntutan insurans.
"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di stesen minyak itu mendapati, memang terdapat kejadian samun tersebut, namun siasatan polis mendapati ia hanya ‘olok-olok’ supaya ia dirakam CCTV di situ, untuk menyakinkan polis berhubung penipuan mereka," katanya.
Susulan itu juga jelasnya, polis menahan dua lagi lelaki berusia 51 dan 23 tahun, selepas didapati bersubahat dengan suspek apabila bertindak sebagai penasihat dan juga ‘penyamun’, dalam kegiatan jenayah yang dirancang mereka.
"Empat lelaki itu direman selama enam hari, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan," tambah Nik Ros.
0 Comments