KEMENTERIAN Pertahanan (Mindef) membidas dakwaan pihak yang menuduh menterinya, Mohamad Sabu memungkiri janji.
Ia susulan pengurniaan memberikan pangkat kehormat Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) kepada Menteri Besar dari Pakatan Harapan (HARAPAN).
Melalui kenyataan rasminya, Kementerian itu berkata, pangkat diberikan itu adalah atas kapasiti kedudukan jawatan disandang yang melayakkan mereka diberi pangkat kehormat dan bukan atas kapasiti parti politik.
“JAKPAW merupakan satu jawatankuasa peringkat negeri yang ditubuhkan di setiap negeri.
“Penaung JAKPAW di setiap negeri adalah Menteri Besar/Ketua Menteri yang dilantik oleh Menteri Pertahanan menerusi kelulusan Majlis Angkatan Tentera (MAT) dengan diperuntukkan pangkat Brigediar Jeneral(Kehormat).
![]() |
Hishammuddin memakaikan pangkat kepada Khairy |
Tambah Mindef lagi, perjawatan Pengerusi JAKPAW pula hanya dikhususkan kepada Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri di mana pelantikan itu dibuat oleh Menteri Besar/Ketua Menteri/ Menteri Wilayah Persekutuan dengan diperuntukkan pangkat Kol (Kehormat).
Malah kesemua perjawatan tauliah kehormat itu perlu mendapat kelulusan MAT dan perkenan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu sepertimana yang termaktub dalam Seksyen 198, Akta Angkatan Tentera 1972.
“Perjawatan ini boleh ditamatkan sekiranya penyandangnya melakukan kelakuan yang boleh mencemarkan nama baik Angkatan Tentera Malaysia atau tidak lagi menyandang jawatan mereka.
“Justeru adalah tidak tepat dakwaan yang mengatakan bahawa pemberian pangkat kehormat ini disebabkan latar belakang politik,” jelas kenyataan itu.
Terdahulu, bekas Naib Presiden UMNO, Hishammuddin Hussein mempersoalkan tindakan Mohamad Sabu memberikan pangkat tentera kepada ahli politik.
Ia susulan penganjuran majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tentera Darat dan Tauliah Kehormat Askar Wataniah yang disempurnakan oleh Mohamad di Penthouse, Wisma Pertahanan.
Majlis tersebut menyaksikan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malik dianugerahkan pangkat Brigedier Jeneral Kehormat.
0 Comments