Jawatankuasa teknikal dua hala S'gor - Pahang ditubuhkan


KERJASAMA
antara Kerajaan Negeri Selangor dan Pahang terus diperkukuh dengan pembentukan jawatankuasa teknikal bersama.
 
Penubuhan jawatankuasa itu hasil mesyuarat dua hala dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Wisma Sri Pahang pada Jumaat.

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua mereka menyifatkan mesyuarat tersebut sebagai satu penting bagi mengukuhkan kerjasama strategik yang dijangka mampu memberi impak positif kepada rakyat kedua-dua negeri.

"Antara yang dirungkai dalam pertemuan adalah usaha memulakan kerjasama dalam beberapa isu kepentingan bersama.
 
"Antaranya berkaitan penyaluran dan pengurusan air mentah Pahang ke Selangor, Isu perhutanan dan persempadanan kedua-dua negeri dan kawalan pembangunan dan pemantauan di kawasan berisiko melibatkan cerun," kata kenyataan itu.

Mesyuarat tersebut membincangkan isu kerjasama hal ehwal latihan perkhidmatan awam dan gerak kerja kesukarelawanan bencana alam, langkah mengurangkan kesesakan terutama antara Gombak- Bentong dan peranan kedua-dua negeri dalam aspek keterjaminan bekalan makanan.

"Tindakan-tindakan susulan akan diteliti oleh jawatankuasa-jawatankuasa teknikal termasuk peranan anak-anak syarikat kerajaan negeri masing-masing.

"Kami berharap agar hubungan dua hala yang terjalin ini dapat dieratkan lagi dalam masa akan datang," tambah mereka.

Sementara itu, Wan Rosdy yang dipetik laporan media ketika mengulas mesyuarat itu berkata, Pahang dan Selangor mempunyai banyak peluang ekonomi yang boleh diteroka secara bersama yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negeri.

Isu kepentingan antara dua negeri dibincangkan
Pahang dan Selangor juga jelasnya mempunyai kelebihan tersendiri seperti bidang industri, pelancongan serta pertanian dan ini boleh dicontohi bagi manfaat bersama.

"... kedua-dua negeri mengalami dan berdepan dengan potensi risiko yang hampir sama dan pada masa sama, juga (Selangor dan Pahang) mempunyai potensi yang hampir sama baik," kata Amirudin pula sebagai megulas isu pembangunan lokaliti kawasan tinggi antara dua negeri.

Post a Comment

0 Comments