BUDAYA memberikan amaran dan tekanan terhadap guru yang membuat kritikan di media sosial mesti dihentikan segera, kata Menteri Pendidikan.
Gesaan itu disuarakan Fadhlina Sidek susulan aduan dikemuka kepadanya berhubung isu seorang guru pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Reko, Hasmadi Hamdan telah diberikan amaran oleh pegawai, kerana mengkritik di media sosial.
"Guru pendidikan khas adalah barisan hadapan saya dalam membangun konsep madani dalam pendidikan khas. Kebimbangan beliau adalah kebimbangan saya.
"Ruang kritikan konstruktif penting sebagai proses semak dan imbang mengikut saluran, adab berbeza pandangan yang sentiasa meletakkan kepentingan serta kebajikan murid-murid, para guru dan tonggak profesionalisme yang memandu penjawat awam," katanya dalam hantaran di Facebook rasminya.
Fadhlina turut berkongsi mesej terbuka Hasmadi kepada Menteri Pendidikan yang dimuat naik di media sosial guru berkenaan.
Beliau yang juga Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) turut menekankan bahawa pendekatan administratif yang baik hanya boleh dicapai apabila wujud ketelusan di peringkat bilik darjah, sekolah dan pejabat pendidikan.
Sementara itu, tinjuan di ruangan komen mendapati rata-rata pelayar media sosial menghargai pendirian disuarakan Fadhlina.
Izatul Nadia di ruangan komen berharap tindakan dikenakan terhadap pegawai yang memberi tekanan kepada guru berkenaan.
Pendekatan Fadhlian dipuji pengguna media sosial |
"Orang yg memahami agama akan bawa kefahaman agamanya dalam urusan pentadbiran...semoga Allah sentiasa memandu dan memimpin orang-orang yang ikhlas memimpin negara ini," kata pengguna dengan nama Mia Octarina.
0 Comments