Pencak Silat Asia: Malaysia bolot 20 pingat


SKUAD pencak silat negara merangkul empat pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa pada edisi kelima Kejuaraan Pencak Silat Asia yang berakhir di Yanji, China,semalam.

Pingat emas berkenaan diperolehi dalam acara silat tanding menerusi Mohamad Hazim Amzad dalam kelas Putera C (55-60kg), Mohd Al Jufferi Jamari (Putera E-65-70 kg) dan Muhammad Robial Sobri (Putera I-85-90 kg), serta gandingan Nor Hamizah Abu Hassan dan Nur Syazreen Abdul Malek dalam acara silat seni Ganda Puteri.

Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin berbangga dengan kejayaan tersebut apatah lagi skuad silat kebangsaan terpaksa bertarung di bawah cuaca sejuk yang mencecah 15 darjah celcius.

"Kejayaan ini merupakan satu perkara yang boleh dibanggakan kerana daripada 10 pesilat negara yang mara ke final, empat pesilat berjaya meraih emas, namun saya menasihatkan pesilat negara supaya tidak leka dengan kejayaan ini kerana banyak kelemahan yang perlu diperbaiki bagi menghadapi beberapa kejohanan pada tahun depan," katanya dipetik Bernama.

Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain berbangga dengan semangat luar biasa yang dipamerkan beberapa pesilat negara, termasuk Mohamad Hazim yang berjaya menewaskan beberapa lawan yang lebih berpengalaman daripada Vietnam dan Thailand, selain bekas juara dunia, Mohd Al-Jufferi yang sentiasa mempamerkan aksi konsisten pada saingan antarabangsa.

"Saya turut berbangga dengan persembahan cemerlang Muhammad Robial yang berjaya menundukkan pesilat berpengalaman daripada Singapura, Sheik Ferdous Sheik Alauddin pada kejohanan kali ini, dan saya berasa seronok apabila melihat prestasi konsisten pesilat kita," katanya dipetik.