Lagi suspek ragut mati dirempuh kereta


SEORANG suspek kes ragut maut dalam keadaan mengerikan selepas terperosok bawah kereta.

Dalam kejadian di Jalan Puteri 5/5, Bandar Puteri dekat Puchong petang semalam, suspek yang menunggang sebuah motosikal sebelumnya dipercayai telah meragut rantai emas daripada seorang lelaki.

Suspek sempat melarikan diri sebelum motosikal yang ditunggangnya terlibat kemalangan dengan kereta mangsa ragut itu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, motosikal yang ditunggang suspek dipercayai melawan arus dan berhenti di tepi jalan secara mengejut.

Beliau berkata, pemandu kereta yang juga mangsa ragut berusia 44 tahun itu tidak sempat membrek lalu melanggar motosikal suspek hingga menyebabkan suspek terjatuh.

"Suspek yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Serdang, bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 7.52 petang," katanya menerusi kenyataan.

Tambah Ismadi, polis yang menjalankan siasatan kes itu turut menjumpai rantai yang diragut suspek terbabit.

Katanya, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai tiga kes dadah, dua samun dan satu Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK).

"Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 41(1)" Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Minggu lalu, satu kejadian hampir sama melibatkan dua orang suspek.

Dalam kejadian berdekatan Antara Gapi di Hulu Selangor pada Rabu, lelaki disyaki peragut maut dan rakannya pula cedera selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta.

Kemalangan minggu lalu
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Azman Ab Rahman berkata, kedua suspek yang menunggang sebuah motosikal sebelum itu dikatakan meragut rantai seorang lelaki di pekan Kuala Kubu Bharu pada 12.40 tengah hari.

Mangsa bersama rakannya yang turut bermotosikal segera mengejar motosikal suspek sehingga persimpangan lampu isyarat terbabit.

“Sebaik suspek membuat pusingan U di persimpangan terbabit, motosikal dinaiki mereka kemudiannya dirempuh sebuah kereta dari arah belakang," katanya.

Post a Comment

0 Comments