Lawak rogol: sikap tak serius kerajaan dipersoal


SEORANG wakil rakyat pembangkang mahu kerajaan Muhyiddin menjelaskan mengapa guru yang didakwa membuat lawak rogol masih dibenarkan terus mengajar, walaupun siasatan sedang dijalankan.

Gesaan itu dibuat Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto merujuk pendedahan seorang pelajar, Ain Husniza Saiful Nizam, 17, yang video TikToknya menceritakan kejadian itu menjadi tular sehingga mencetuskan kemarahan ramai.

Kasthuri yang juga Setiausaha Antarabangsa Wanita DAP itu mahu Putrajaya menggariskan apa tindakan yang telah diambil mereka berhubung perkara itu.

“Menteri Pendidikan Radzi Jidin menyatakan siasatan terperinci akan dijalankan ke atas dakwaan ini. Bukankah guru itu patut digantung tugas sementara menunggu siasatan?

“Bagaimana siasatan akan dijalankan secara adil dan tanpa rasa takut atau pilih kasih, jika guru berkenaan masih dibenarkan mengajar tanpa tindakan diambil dan masih mempunyai akses kepada pelajar?” soalnya.

Ain Husniza dalam sebuah forum dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa guru tersebut masih mengajar.

Malah individu itu cuba meyakinkan pelajar lain dakwaan Ain Husniza terhadapnya adalah fitnah.

Dalam kenyataan itu juga Kasthuri juga menegaskan bahawa tindakan membiarkan individu itu terus berinteraksi dengan pelajar memberi mesej bahaya kepada orang ramai dan pemangsa seksual.

Beliau turut mempersoalkan  kurangnya tindakan daripada kerajaan dalam isu itu kerana tiada permohonan maaf dibuat guru itu serta tiada perkembangan mengenai siasatan Kementerian Pendidikan yang diumumkan.

Apa tindakan oleh kerajaan PN?


Dalam kenyataan itu juga Kasthuri membidas sikap kerajaan dalam isu serius itu. Beliau turut membangkitkan kurangnya respons daripada kerajaan terhadap surat dwipartisan yang ditandatangani 20 Ahli Parlimen wanita yang mendesak kerajaan memandang serius perkara itu.


“Adakah pengalaman pahit Ain, menjadi mangsa gangguan seksual dan lawak mengenai rogol, liwat serta pengantunan seksual oleh guru di sekolahnya, dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini.

“Jika tidak, kenapa? Jika ya, apa hasilnya?” soalnya lagi.

Post a Comment

0 Comments