Anwar cadang debat awam mesti diteruskan


PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya pendekatan debat seperti berlangsung malam semalam diguna dalam kempen pilihan raya akan datang.

Bercakap kepada pemberita selepas sesi debat perdana bersama bekas perdana menteri, Najib Razak, Anwar yang merupakan Ketua Pembangkang di Parlimen berpandangan debat secara terbuka sempena pilihan raya itu nanti perlu membincangkan isu lebih besar untuk dinilai rakyat.

“Debat hari ini seperti mana permulaan kempen pilihan raya, dalam pilihan raya besok patut ada seperti ini dan membincangkan isu-isu lebih besar,” katanya

Debat perdana di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (Matic)pada Khamis itu merupakan debat yang julung kali menampilkan dua tokoh besar arena politik tanah air.

Ia mengupas pelbagai isu berkepentingan kepada negara terutama persoalan sama ada syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Bhd (SEB) perlu diselamatkan atau sebaliknya.

Anwar dan Najib turut membincangkan isu masa depan Malaysia merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara.

Cabaran debat itu tercetus selepas Najib dan Naib Presiden KEADILAN Rafizi Ramli, saling berbalas pandangan dan kritikan di media sosial berhubung isu kewajaran “bailout” (menyelamatkan) SEB.

Walau bagaimanapun , debat terbabit bukan mengenai siapa menang atau kalah, tetapi adalah satu bentuk idea kepada Malaysia untuk menjadi lebih baik kerana objektif utamanya ialah meraikan idea juga pandangan daripada pendebat.

Antara sorotan debat semalam ialah Najib mencadangkan syarikat minyak nasional Petronas mengambil alih kepentingan syarikat SEB daripada diisytiharkan muflis.

Sekiranya ia tidak berlaku, Najib mencadangkan bank memberi pinjaman dengan jaminan kerajaan kepada SEB.
 
Manakala, Anwar pula menggesa kerajaan melakukan audit forensik terhadap SEB dalam usaha menyelamatkan syarikat itu daripada pelbagai permasalahan yang berlaku.

Katanya, audit forensik antaranya sebagai langkah untuk mengambil tindakan terhadap individu yang menyebabkan masalah dalam syarikat itu.

Debat akan datang mesti bincang isu lebih besar


“Bukan soal kerajaan bantu syarikat ini, tapi soalnya campur tangan, mesti ada audit forensik. Macam saya lakukan terhadap Perwaja Steel dulu, saya diarahkan untuk bantu. Saya lakukan dan minta PWC (PricewaterhouseCoopers) lakukan audit forensik,” katanya.


Berhubung isu kos sara hidup, Anwar pula berkata beliau mendapat reaksi orang ramai bahawa era Pakatan Harapan (HARAPAN) lebih berjaya menangani isu kos sara hidup dengan membandingkan harga ayam pada 2019 dan sekarang.

Post a Comment

0 Comments