Darurat PN makin tidak nampak hala tuju - Dr Zaidi

SEORANG pemimpin parti Amanah Pulau Pinang mengkritik kerajaan Perikatan Nasional (PN) susulan usaha mereka meletakkan negara dalam keadaan darurat.

Dr Zaidi Zakaria yang merupakan Pengarah Komunikasi AMANAH Pulau Pinang dipetik laporan Malaysia Dateline berkata, pengisytiharan darurat itu seolah-olah tidak mempunyai hala tuju sebenar, sebaliknya diambil kesempatan oleh mereka untuk terus berpolitik.

Beliau memetik penamatan perkhidmatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji serta Ketua Polis Negara (KPN) ketika perintah darurat dikuatkuasakan yang menurutnya bukti kerajaan PN tidak memberi fokus kepada usaha melawan dan membendung Pandemik Covid-19.

“Perlu diingatkan sebab utama pengisytiharan darurat adalah bagi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat diputuskan. Manakala penamatan CEO-TH dan KPN jelas tiada kena mengena dengan usaha bagi membendung penularan pandemik tersebut tatkala ini.

“Tindakan memecat CEO-TH tersebut jelas satu tindakan zalim dan menggantikan KPN yang terbukti berani melawan kegiatan judi dan pengubahan wang haram. Mereka yang berkuasa terus berpolitik untuk mengukuhkan kedudukan,” ujar beliau dipetik laporan itu.

 Dr Zaidi kritik darurat kerajaan PN
Tegas Dr Zaidi lagi, tindak tanduk kerajaan PN itu telah membangkitkan kemana hala tuju pengisytiharan darurat sekiranya ia terus ditadbir sedemikian rupa oleh kerajaan Muhyiddin itu.